Seorang pemuda bukan saja ‘hangus’ modal RM3,000 ubah suai kereta, tapi juga akan berdepan tindakan undang-undang selepas ditahan cuba menyeludup minyak di pintu sempadan Wang Kelian, hari ini.
Proton Iswara yang dipandunya ditahan bersama 600 liter petrol yang diisi dalam dua tangki tambahan oleh sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kira-kira 10.30 pagi tadi.
Bercakap kepada pemberita, Timbalan Pengarah KPDNKK Perlis Razali Lebai Salleh berkata bekalan petrol yang cuba diseludup lelaki itu dipercayai diperolehi dari beberapa stesen minyak di negeri ini.
Memandangkan dia rakyat tempatan dan memandu kereta tempatan, maka mudah untuk suspek mendapatkan bahan bersubsidi ini, katanya.
Razali yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perlis berkata sejak awal tahun ini, sebanyak 143 kes penyeludupan termasuk minyak telah dipatahkan dan kenderaan yang terbabit dalam kes itu turut disita.
“Kami tidak pernah berdiam diri dan akan terus melakukan tindakan penguatkuasaan ke atas mereka yang disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan,” katanya.
– Bernama