Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak akan terjejas sepanjang musim perayaan Aidilfitri pada
Ogos ini walaupun anggota Kesatuan Pekerja KTMB (KPPKTMB) mengeluarkan amaran akan bekerja mengikut peraturan.
Pihak pengurusan KTMB telah pun bersiap sedia dengan beberapa pelan bagi menangani situasi tersebut sekiranya ia benar-benar berlaku, menurut kenyataan KTMB yang dikeluarkan semalam.
“KTMB yakin bahawa ia berada di dalam kawalan dan impak dari tindakan tersebut akan dapat diminimumkan dalam memastikan perkhidmatan tren akan terus beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan KTMB dikeluarkan sebagai respons kepada kenyataan Presiden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan yang dilaporkan dalam akhbar bahawa anggota kesatuan itu akan bekerja mengikut peraturan sepanjang musim perayaan tersebut jika permintaan mereka yang mahukan perkhidmatan Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan ditamatkan tidak dilayan.
Abdul Razak berkata kira-kira 2,000 daripada 3,600 anggota kesatuan itu adalah pemandu lokomotif dan komuter dan jika mereka bekerja mengikut peraturan, ia akan menjejaskan perjalanan kira-kira 50,000 penumpang tren yang mahu pulang berhari raya nanti.
KTMB dalam kenyataan itu berkata para pengguna tidak perlu khuatir atau panik dengan amaran tersebut kerana langkah tertentu akan diambil bagi memastikan perjalanan tren tidak akan terganggu di sepanjang musim perayaan.
Malah KTMB yakin penambahan koc bagi perjalanan ke Pantai Timur sempena musim perayaan akan dapat dilaksanakan berdasarkan kerja-kerja baik pulih koc yang sedang dijalankan dan dijangka siap dalam jangkamasa terdekat.
Semalam KTMB mengumumkan penambahan koc bagi laluan itu akan dipertimbangkan berikutan tiket ke destinasi berkenaan bagi tempoh 26 hingga 29 Ogos habis dijual.
– Bernama