Gara-gara cuai, seorang kontraktor kehilangan RM19,000 selepas wang yang diletakkan di dalam kenderaan pacuan empat rodanya dicuri di Taman Dewa Mawar, Muadzam Shah, semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Nordin Mustapha berkata, kontraktor berusia 39 tahun itu baru saja mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank pada 1 petang.
Katanya sejurus selepas itu dia pulang ke rumah dan meletakkan kenderaannya di hadapan rumah sebelum bergegas masuk ke dalam.
Nordin berkata lelaki itu keluar semula ke luar rumah sejam kemudian dan terkejut mendapati cermin sebelah penumpang kenderaannya telah dipecahkan dan wang itu hilang.
Kontraktor itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin.
– Bernama