Sacc tawar pakej CSR untuk badan korporat sempena Ramadan

Sacc tawar pakej CSR untuk badan korporat sempena Ramadan

Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) menawarkan pakej tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada badan korporat yang berhasrat meraikan golongan kurang bernasib baik sempena bulan Ramadan ini.

Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) menawarkan pakej tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada badan korporat yang berhasrat meraikan golongan kurang bernasib baik sempena bulan Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SACC Zulkifli Mohammad berkata pakej itu merupakan satu usaha SACC membantu syarikat korporat yang memerlukan perkhidmatan dalam mengaturkan acara dan majlis meraikan golongan seperti orang
kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan anak-anak yatim.

“Melalui pakej ini, SACC akan menguruskan semua persiapan bermula daripada pengangkutan, majlis berbuka puasa, hiburan artis jemputan dan solat tarawih di pusat konvensyen kami.

“Syarikat korporat juga boleh meminta SACC merancang aktiviti sampingan seperti melawat muzium, bermesra bersama Upin dan Ipin bagi kanak-kanak dan juga membeli-belah keperluan harian serta hari raya sekiranya berminat,” katanya
kepada Bernama di sini.

Beliau berkata harga yang dikenakan berpatutan iaitu bermula dari RM150 seorang bergantung kepada aktiviti yang dipilih, dan dalam masa sama mereka yang berminat boleh berbincang mengikut bajet masing-masing.

Katanya idea pakej CSR tercetus apabila beberapa pihak tampil dan bertanya kepada pengurusan SACC berhubung hal berkenaan memandangkan syarikat korporat mempunyai jadual padat dan tiada tempat sesuai untuk menjalankan aktiviti CSR seperti meraikan golongan kurang bernasib baik.

Zulkifli berkata mungkin ada yang terkenang kampung halaman setiap kali tiba waktu untuk berbuka puasa, terutamanya hidangan yang menjadi identiti negeri asal masing-masing seperti sesetengah kuih-muih dan lauk-pauk yang hanya ada
pada bulan Ramadan.

Beliau berkata sehubungan itu SACC mengambil pendekatan tersendiri dengan memperkenalkan konsep Nostalgia Rasa Nusantara untuk juadah berbuka puasanya yang menawarkan lebih 100 hidangan dari 10 negeri di Malaysia.

Zulkifli berkata konsep itu dipilih kerana ia bersesuaian dengan penduduk di Selangor yang berasal dari serata negeri di Malaysia seperti Kelantan, Johor, Perak dan Pahang.

“Kami membuat satu kajian dan pandangan meminta jenis hidangan digemari, dengan perbincangan yang dibuat bersama pasukan, kami menyenaraikan hidangan yang memang menjadi identiti bagi beberapa negeri di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata 10 negeri yang dipilih dengan hidangan istimewa masing-masing ialah kuih tahi itik dan laksam Pasar Siti Khadijah (Kelantan); rendang betawi dan kuih bingka ubi (Pahang); asam pedas Johor dan kuih koci (Johor); laksa
Kuala Kangsar dan pulut udang (Perak).

Turut dihidangkan kuih sepam dan daging salai bacang muda (Negeri Sembilan); laksa Telok Kecai dan Puteri Berendam (Kedah); asam pedas Melaka dan kuih paipee (Melaka); sattar dan nasi dagang (Terengganu); apam Perlis dan laksa kuala
(Perlis) serta mee rebus Pak Mail dan siput memerang lemak (Selangor).

Beliau berkata SACC turut menyediakan pakej ‘kotak nasi berkat’ dalam pelbagai variasi seperti nasi kambing kebuli dan nasi ayam dara bagi mereka yang ingin membuat tempahan untuk dihantar ke syarikat masing-masing atau sebagai
sumbangan kepada mana-mana pihak.

Katanya SACC turut menyediakan kemudahan solat tarawih serta persembahan daripada artis-artis nasyid jemputan bagi meraikan tetamu yang berbuka puasa.

Zulkifli berkata maklumat lanjut mengenai program di SACC itu boleh didapati dengan menghubungi 03-55118858 atau melayari laman sesawang  www.saccconventioncentre.com.

– Bernama