Seorang lelaki yang dilapor hilang selepas membuat urusniaga getah Sabtu lepas, ditemui mati awal hari ini.
Mayat Mohd Sufian Mustafa, 34, ditemui di ladang getah Peringkat Tiga, Felda Pasir Besar, berhampiran jalan utama Gemas-Pasir Besar kira-kira pukul 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Wooi Kooi Cheang berkata mayat lelaki itu ditemui dengan kesan kecederaan di kepala dan badan serta kesan cedera akibat tetakan senjata tajam di tangan.
“Polis bergegas ke ladang itu setelah menerima maklumat daripada adik mangsa yang menemui kereta Produa Kancil yang digunakan mangsa di ladang berkenaan.
“Kami melancarkan gerakan mengesan mangsa dan akhirnya mayat mangsa yang ditutupi daun ditemui di dalam lubang di ladang itu,” katanya.
Beliau berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui tetapi keluarga lelaki berkenaan telah membuat pengecaman mayat itu.
Mayat lelaki itu di hantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat, katanya.
Laporan mengenai kehilangan lelaki itu dibuat oleh keluarganya di Balai Polis Dangi, Kuala Pilah, kira-kira pukul 12.40 tengah hari semalam setelah Mohd Sufian yang merupakan pembeli getah tidak pulang ke rumah sejak keluar bagi urus
niaga getah Sabtu lepas.
Ketika keluar dari rumah, Mohd Sufian dikatakan turut membawa wang tunai kira-kira RM3,000 bagi urus niaga getah di Palong, Gemas.
– Bernama