Operasi pusat hiburan Selangor diteruskan, perlu hormati umat Islam

Operasi pusat hiburan Selangor diteruskan, perlu hormati umat Islam

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan negeri yang tidak menghalang orang bukan Islam menganjurkan aktiviti hiburan sepanjang Ramadan.

Pusat hiburan di Selangor akan beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan ini, namun pengusahanya perlu menghormati umat Islam di negeri itu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan negeri yang tidak menghalang orang bukan Islam menganjurkan aktiviti hiburan sepanjang Ramadan.

“Bulan Ramadaan adalah bulan ibadat bagi umat Islam, jadi semua aktiviti hiburan perlu mengambil kira hal ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Budaya Kerja Islam Dalam Konteks Peningkatan Kualiti dan Produktiviti Sektor Korporat, di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata pada masa yang sama orang bukan Islam juga dijemput memeriahkan bulan Ramadan seperti menyertai majlis berbuka puasa.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini dilapor berkata agensi itu tidak ada kuasa untuk mengarahkan semua pusat hiburan di negeri itu menghentikan operasi pada bulan Ramadan.

Sebaliknya, Pengarah JAIS Marzuki Hussin berkata waktu operasi pusat hiburan tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan di negeri itu, yang juga pengeluar lesen.

Mengenai perkembangan lain, Abdul Khalid berkata Selangor kini melaksanakan konsep ‘Baldatun Taiyibatun Wa Rabbun Ghafur’ (negeri yang makmur dan mendapat keampunan Tuhan) dalam usaha menjadi negeri yang mencapai kemakmuran sebenar.

“Sebenarnya masih belum cukup mengatakan lihatlah betapa majunya Selangor, kerana kalau maju dan kaya sahaja tetapi kehidupan masih tercengkam maka kemajuan dan kekayaan tersebut bukanlah kemakmuran yang ingin dicorak,” katanya.

– Bernama