Bangkitan kesedaran hak pengguna

Bangkitan kesedaran hak pengguna

Dengan pelbagai helah dan taktik jualan dan pemasaran yang digunakan syarikat-syarikat kini, potensi seorang pengguna
menjadi mangsa penipuan adalah tinggi.

Dengan pelbagai helah dan taktik jualan dan pemasaran yang digunakan syarikat-syarikat kini, potensi seorang pengguna
menjadi mangsa penipuan adalah tinggi.

Jika anda mengunjungi laman sesawang ataupun blog pengguna seperti Persatuan Gabungan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Persatuan Penguna Islam Malaysia (PPIM),  pelbagai  masalah pengguna diutarakan membabitkan penipuaan seperti kad kredit, jualan langsung, iklan yang mengelirukan, gores dan menang serta  produk palsu.

Ia menjadi medan terbaik untuk perkongsiaan maklumat dalam kalangan pengguna, namun itu hanya sebahagian yang disuarakan. Sedar atau tidak, masih ramai pengguna yang mengambil pendekatan  berdiam diri dan enggan tampil membuat aduan walaupun tahu mereka diperdaya dan ditipu dengan produk dan perkhidmatan yang tidak berkualiti.

Di beberapa negara maju, pengguna sangat teliti tentang hak mereka dan peniaga pula lebih bertanggungjawab dan keadaan ini mewujudkan pasaran yang lebih  telus dan berdisiplin. Inilah sasaran kerajaan dalam masa negara menuju status negara maju menjelang 2020.

Tidak sedar hak sebagai pengguna

Kajian Profil Pengguna oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tahun lepas mendapati hanya 58 peratus, pengguna Malaysia yang mempunyai tahap kesedaran kepenggunaan yang tinggi.

Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, Mat Pauzi Awang berkata kadar itu masih rendah walaupun masyarakat pengguna semakin sedar tentang hak asasi seperti hak mendapatkan ganti rugi dan hak membuat pilihan.

“Masih ramai lagi pengguna yang tidak menukar pemahaman itu ke dalam bentuk tindakan. Ini kerana tahap kesedaran masyarakat berkait rapat dengan tahap pendidikan, pekerjaan selain informasi untuk mendapat maklumat yang  terbatas serta penumpuan bagi memenuhi keperluan asas seperti makan, minum dan tempat tinggal,” katanya.

Masih ramai dalam kalangan pengguna tidak mengetahui hak mereka terutama dalam skop yang lebih besar seperti mendapatkan alam sekitar yang sihat, hak untuk mendapat pendidikan pengguna, hak mendapatkan keselamatan serta hak mendapatkan maklumat.

Sebagai contoh, mereka mengetahui tentang masalah alam sekitar tetapi mereka tidak menitik beratkan alam sekitar dalam kehidupan seharian sedangkan mereka mempunyai hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.

“Hasil kajian itu menunjukkan hanya 40 peratus pengguna yang menyedari tentang perkara itu,” katanya.

Pengguna juga masih lagi kurang mengetahui hak mereka untuk mendapatkan keselamatan yang boleh melindungi pengguna daripada barang, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan dan kehidupan mereka termasuk perlindungan daripada penipuan, fitnah dan lain-lain.

See also  Discover exclusive luxury at ViO Banj’ran in Seremban 2

Kajian itu juga mendapati pengguna berpendapatan rendah dan pendidikan rendah  memerlukan lebih perlindungan berbanding  golongan  berpelajaran dan berpendapatan tinggi yang mana mereka dapat melindungi diri sendiri.

Golongan berpendapatan rendah  biasanya lebih tertumpu kepada kehidupan seharian,  tumpuan untuk mendapatkan keperluan asas selain kurang berbelanja.

“Golongan ini hanya akan bertindak sekiranya keupayaan mereka untuk mendapatkan keperluan asas terjejas seperti peningkatan harga keperluan asas ataupun apabila punca pendapatan mereka terjejas,” katanya.

Beliau berkata pelbagai aduan diterima melalui e-aduan di KPDNKK. Dari Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 6,070 aduan diterima dari seluruh Malaysia yang mencakupi pelbagai perkara antaranya penipuan harga, penyelewengan jualan
langsung, bengkel kenderaan bermotor, barang tiruan, tanda harga, cetak rompak, penipuan perjanjian, jualan bahan petroleum dan perkhidmatan telekomunikasi.

Setiap hari antara tujuh hingga 10 aduan diterima yang dibuat melalui laman  web kementerian, talian bebas tol 1-800-886-800 ataupun datang sendiri ke pusat aduan di kementerian yang mula beroperasi sejak dua bulan lepas.

Pengguna yang ditipu dan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diterima juga boleh membuat tuntutan di tribunal tuntutan pengguna sebagai saluran untuk mencari keadilan bagi kedua-dua pihak, pengguna dan peniaga.

“Dulu pengguna tidak tahu mana mahu menyalurkan masalah yang dihadapi, dengn adanya tribunal tuntutan pengguna ini, pengguna tidak terkapai-kapai lagi dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Usaha lindungi pengguna

Meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai hak sebagai pengguna menjadi sebahagian agenda utama KPDNKK antaranya melalui Persatuan Pengguna Daerah yang kini ditempatkan di 132 daerah seluruh Malaysia.

Ia menjadi pemimpin pendapat atau penghubung utama yang mampu bertindak menggerakkan aktiviti kepenggunaan selain bertindak sebagai tempat rujukan pengguna selamat.

Selain itu beberapa undang-undang atau akta yang melindungi pengguna turut dipinda antaranya Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang dipinda pada tahun lepas, bertujuan melindungi pengguna daripada amalam perniagaan yang tidak beretika berhubung urusan jual beli antara peniaga dan pengguna.

Begitu juga, Akta Perihal Dagangan 1972 yang bertujuan melarang penggunaan perihal, penyataan dan petunjuk palsu atau yang menggelirukan berhubung dengan barang, perkhidmatan, tempat tinggal, kemudahan dan harga barang.

Pindaan akta ini diluluskan dengan menambah gores dan menang, iklan yang mengelirukan dan penjualan produk palsu sebagai kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

See also  Exclusive waterfront living at Lightwater Residences

Akta lain yang melindungi pengguna ialah Akta Jualan Langsung 1993, Akta    Timbang dan Sukat 1972, Akta Sewa Beli 1967,  Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946.

“Sekiranya tidak didedahkan masalah kepenggunaan yang berlaku, maka pengguna akan terus menghadapi masalah itu dari semasa ke semasa kerana wujudnya pelbagai taktik dan tipu helah dalam perniagaan, pemasaran produk dan perkhidmatan yang tidak bermutu dan berkualiti, penipuan tanda halal, pemalsuan maklumat yang memberi kesan buruk terhadap keseimbangan hubungan ekonomi antara peniaga dan pengguna,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya pengetahuan dan pendidikan kepenggunaan, pengguna akan menjadi lebih berhati-hati dalam urus niaga yang dijalankan serta pengguna juga boleh melindungi diri sendiri daripada terpedaya dan ditipu
oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Kumpulan sasaran kini katanya lebih ditumpukan kepada kumpulan pengguna baru yang terdiri daripada pelajar sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi serta golongan belia dan wanita.

“Belia sebagai pelapis pemimpin masa hadapan dan wanita dianggap tonggak utama keluarga yang memastikan keselamatan dan kesihatan keluarga terjamin,” katanya.

Sambutan bulan pengguna kebangsaan

Bulan Julai merupakan bulan pengguna yang disambut di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti bagi membangkitkan kesedaran dalam kalangan pengguna.

Memilih tema “Hak Pengguna Tanggungjawab Anda”, ia membawa maksud hak dan peraturan bagi melindungi pengguna daripada ditipu peniaga yang tidak beretika dan  tanggungjawab serta  peranan yang perlu dimainkan oleh individu yang
merangkumi kesedaran kritikal, penglibatan dan tindakan, kepentingan sosial serta kesedaran persekitaran.

“Pengguna mesti mempunyai kesedaran untuk mengkritik sekiranya berlaku penyelewengan, sanggup  bertindak sekiranya hak mereka tidak dilayan, pengguna mesti menjaga etika supaya perbuatan tidak menimbulkan kesulitan kepada orang lain atau alam sekitar.

“Mereka juga perlu bersatu padu menyuarakan pendapat agar kepentingan mereka tidak mudah digugat. Hakikatnya setiap pengguna  perlu menyedari tanggungjawab mereka terlebih dahulu bagi memastikan hak pengguna dapat diamalkan,” katanya.

Mat Pauzi berharap menjelang 2020, pengguna Malaysia akan mampu melaksanakan perlindungan kendiri dan peniaga akan menjalankan kawal selia kendiri dalam menjalankan tangungjawab dan hak mereka.

Bagi mereka yang mahu mengetahui tentang tanggungjawab, isu dan hak pengguna, kemuncak sambutan bulan pengguna akan diadakan di Manjung, Perak pada 23 Julai.

– Bernama