Demonstrasi tidak releven di negara ini kerana kerajaan mempunyai pelbagai mekanisme untuk menyelesaikan masalah dan tuntutan rakyat, kata Menteri Besar Perlis, Dr Md Isa Sabu hari ini.
Menurutnya sejarah membuktikan bahawa demonstrasi hanya menimbulkan keresahan rakyat dan membawa kerugian sedangkan kerajaan menyediakan saluran yang terbaik untuk rakyat mengemukakan sebarang masalah dan tuntutan.
Berucap merasmikan seminar pengukuhan Gagasan 1Malaysia Negeri Perlis 2011 hari ini, beliau berharap keharmonian hidup rakyat berbilang kaum di negara ini tidak dirosakkan oleh perbuatan demonstrasi yang jelas merugikan semua pihak.
Md Isa berkata demonstrasi pelajar di Baling pada 1974 yang kononnya bagi membela nasib penduduk miskin didapati lebih memburukkan keadaan apatah lagi kematian yang didakwa berpunca daripada kemiskinan penduduk di daerah itu adalah dakwaan yang tidak benar.
“Saya sebagai mahasiswa ketika itu juga bersemangat untuk berdemonstrasi tetapi akhirnya menyedari bahawa kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.
Mohd Isa berkata sejarah membuktikan bahawa kemerdekaan negara ini dicapai hasil perpaduan masyarakat berbilang kaum dan suasana itu harus dipertahankan demi masa depan negara yang lebih gemilang.
– Bernama