Seorang buruh kontrak warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan cuba memberi rasuah RM20 kepada seorang konstabel sokongan dalam sekatan jalan raya di Kuala Perlis tiga hari lepas.
Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad menetapkan hukuman penjara lima bulan jika tertuduh, Win Sein, 33, gagal membayar denda itu.
Beliau juga memerintahkan hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 Julai lepas.
Win Sein, yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah meletakkan RM20 dalam topi keledar Ahmad Ghazali Abdul Halim supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dalam sekatan jalan di Jalan Besar, Kuala Perlis pada 11.25 malam, 19 Julai lepas.
Ahmad Ghazali telah menangkap Win Sein dan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis sebelum diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan.
Win Sein yang dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan kehidupannya susah dan tidak menyedari bahawa perbuatannya itu merupakan satu kesalahan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjahya Pencegahan Rasuah Malaysia, A. Hafizh Abu Bakar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahannya sebagai pengajaran kepada warganegara asing lain yang berada di negara ini.
– Bernama