Kerajaan diminta mengisi kerusi senator yang kosong berikutan kematian Profesor Dr Ismail Salleh pada 2009 dengan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga bagi memastikan adanya kesinambungan wakil golongan itu di Dewan Negara.
Presiden Gabungan Persatuan Orang Kelainan Malaysia Datuk Mah Hassan Omar berkata dengan adanya wakil dari golongan itu di Dewan Negara, masalah dan pandangan golongan itu dapat disalurkan kepada kerajaan dengan lebih baik lagi.
Selain itu, ia dapat memberi pandangan mengenai tindakan kerajaan menangani masalah OKU, katanya ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24 di sini malam tadi.
Beliau juga berkata pihaknya berharap kerajaan dapat memisahkan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya daripada di bawah pengawal selian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan masalah OKU tidak sama dengan masalah
yang dikendalikan oleh JKM.
Malah peranan JKM dalam menangani masalah OKU agak terbatas, tambahnya.
Mah Hassan berkata tindakan sebaiknya ialah menubuhkan sebuah kementerian untuk OKU yang boleh menyelaras dan merangka satu pelan bertindak yang komprehensif untuk membela nasib OKU.
“Isu membabitkan OKU berbeza dengan kelompok masyarakat lain yang merangkumi aspek pendidikan, ekonomi, sukan dan sebagainya. Hanya dengan penubuhan Kementerian Orang Kelainan Upaya perubahan yang signifikan dapat dibuat untuk golongan itu,” katanya.
Mah Hassan turut melahirkan rasa kecewanya dengan penyertaan golongan OKU dalam sektor awam belum mencapai paras satu peratus kuota yang ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu golongan OKU adalah amat baik, bagaimanapun pelaksanaannya hingga kini amat lemah dan menyebabkan golongan itu terus tertinggal ke belakang dalam arus
pembangunan negara.
– Bernama