Empat jalan di sekitar Stadium Darul Aman di sini ditutup selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu ini sempena
Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pusingan keenam 2011 pada Jumaat hingga Sabtu.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar Supt Mohd Sham Abdullah berkata jalan-jalan yang ditutup ialah persimpangan lampu isyarat Jalan Sultanah hingga Jalan Bakar Bata, Jalan Tun Razak (bermula dari persimpangan lampu isyarat Jalan Alor Semadom), persimpangan lampu isyarat Kompleks Pendidikan (Jalan Stadium) dan Lebuhraya Darulaman dari arah Anak Bukit ke Pusat Bandar.
“Laluan dari Pusat Bandar ke Anak Bukit Lebuhraya Darulaman dibuka seperti biasa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata jalan-jalan berkenaan akan ditutup bermula pukul 7 pagi Khamis hingga pukul 12 tengah malam Sabtu.
“Jika tidak sempat untuk membuka semula jalan pada 12 tengah malam Sabtu, kita akan lanjutkan hingga pukul 7 pagi hari berikutnya,” katanya.
Mohd Sham berkata beliau meminta pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif untuk ke Pusat Bandar.
“Pengguna jalan raya juga perlu mematuhi arahan yang diberikan oleh petugas-petugas trafik yang berada di semua jalan yang ditutup,” katanya.
– Bernama