Bersama kira-kira 600 spesies burung tempatan dan yang berhijrah dengan 50 daripadanya hanya terdapat di kepulauan
Borneo, Sabah mempunyai potensi besar dalam pelancongan memerhati burung.
Ini sekaligus dapat mempelbagaikan lagi produk pelancongan di negeri ini yang terkenal dengan keindahan flora dan fauna hingga menarik kunjungan ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
Menyedari potensi ini, Kelab Burung Borneo yang ditubuhkan pada Oktober 2010 giat mempromosi pelancongan memerhati burung di negeri ini.
Kehadiran ramai pemerhati burung dari luar negara ke negeri ini dan ditambah dengan minat, menjadi landasan kepada penubuhan kelab itu yang diterajui oleh Presidennya Gary Albert.
Kelab ini, yang dianggotai 100 orang berada di landasan terbaik bagi membantu mempromosi minat memerhati burung di negara ini terutama di Sabah yang mempunyai banyak spesies burung yang unik dan endemik.
Pelancongan memerhati burung
Gary berkata pelancongan memerhati burung di negara ini memang ketinggalan berbanding negara-negara lain termasuk dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara dan Eropah.
Negara-negara seperti di Filipina, Thailand, Singapura, Taiwan serta beberapa negara di Eropah sudah menerokai bidang pelancongan ini dan mempunyai kelab pencinta burung dengan bilangan anggota yang ramai.
“Baru sekarang, kami dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar giat menanam minat di kalangan rakyat negeri ini dalam aktiviti memerhati burung,” katanya.
Di Malaysia, usaha mempromosi aktiviti memerhati burung hanya dilakukan oleh Kelab Pencinta Alam Sekitar Malaysia dan di Sabah oleh Kelab Pencinta Alam Sekitar Sabah.
Festival burung Borneo
Di Sabah, usaha secara besar-besaran dilakukan untuk mempromosi aktiviti memerhati burung bermula dengan penganjuran Festival Burung Borneo pertama di Sepilok di sini pada Oktober 2009, yang turut disertai ahli Kelab Memerhati Burung dari luar negara.
Berdasarkan sambutan menggalakkan, festival kedua dianjurkan pada bulan yang sama tahun lepas.
Gary berkata di negeri ini terdapat beberapa tempat yang popular untuk memerhati burung antaranya di Rainforest Discovery Center (RDC) di Sepilok , Taman Kinabalu di Kundasang, Kampung Sukau di Kinabatangan, Lembah Danum dan
Tabin di Lahad Datu dan Sungai Klias di Beaufort.
Katanya, banyak spesies burung boleh dilihat di kawasan-kawasan ini termasuk yang endemik kepada kepulauan Borneo sahaja dan ia menjadi lokasi digemari oleh pelancong asing yang meminati aktiviti memerhati burung.
Dalam usaha menarik minat dalam kalangan orang awam, kelab ini melaksanakan program bagi generasi muda dan sebagai permulaan ia membabitkan Ranger Muda di RDC yang dianggotai pelajar sekolah rendah dan menengah.
Program lain adalah melalui pameran bergerak dan Festival Burung Borneo akan datang.
Latih pemandu pelancong
Menurut Gary, kelab ini juga menumpukan kepada usaha melahirkan lebih ramai pemandu pelancong yang mengetahui spesies burung kerana di negeri ini jumlahnya masih kurang.
Hanya terdapat kira-kira enam pemandu pelancong yang mahir mengenai spesies burung dan berlesen di negeri ini tetapi permintaan daripada pelancong asing yang datang ke negeri ini untuk memerhati burung adalah tinggi.
Dalam program jangka panjang, pihaknya akan menumpukan latihan kepada pemandu pelancong biasa mengenai burung terutama dalam mengenali spesies burung dan etika ketika memerhati burung.
Sekarang ini, sudah ada agensi pelancongan menawarkan aktiviti memerhati burung dalam pakej mereka yang menunjukkan wujudnya permintaan dalam kalangan penggemar burung dari luar negara.
Menurutnya, agensi pelancongan yang menawarkan aktiviti ini mengendalikannya menggunakan pemandu pelancong biasa yang hanya mempunyai serba sedikit pengetahuan mengenai spesies burung.
Bagi Cede yang juga naib presiden kelab itu, usaha untuk melatih lebih ramai pemandu pelancong yang mahir mengenai burung perlu bagi membangunkan aktiviti memerhati burung di negeri ini.
“Permintaan daripada pelancong asing yang datang ke negeri ini untuk aktiviti memerhati burung sentiasa ada dan cuma bergantung kepada kita untuk memenuhi permintaan mereka.
“Mereka mahu pemandu pelancong yang mahir mengenai spesis burung dan sebab itu usaha melatih lebih ramai pemandu pelancong berkemahiran dalam aspek ini perlu dilakukan,” katanya yang juga naib presiden Kelab Pencinta Alam Sekitar
Cawangan Sandakan.
Pendidikan mengenai burung dan konservasi
Menurut Cede perkara penting untuk menggalakkan lagi pelancongan memerhati burung di negeri ini adalah memberi pendidikan kepada masyarakat untuk menghargai burung dan usaha konservasi burung.
Cede, yang juga seorang jurugambar profesional, berkata penganjuran Festival Burung Borneo akan datang di sini menjadi landasan terbaik untuk mendidik orang ramai menghargai burung dan sama-sama terlibat dalam konservasi burung.
“Sejak dianjurkan pada 2009, jumlah pengunjung ke festival itu semakin meningkat tetapi apa yang kami mahu ialah pengunjung dapat menghargai dan memahami burung sebagai sebahagian daripada alam semulajadi dan penting dalam
ekosistem,” katanya.
Program lain yang dilaksanakan oleh Kelab Burung Borneo adalah menjalankan aktiviti memerhati burung di beberapa lokasi dan yang pertama dijalankan di ladang kelapa sawit IJM Sabang di Sugut Beluran yang disertai oleh 15 anggota
kelab itu pada 10 Jun lepas.
Aktiviti memerhati burung dilaksanakan di sekitar hutan rumah kelab IJM dan antara spesies burung yang dapat dilihat di kawasan itu adalah burung helang jenis Wallace’s Hawk, burung raja udang jenis Blue-Eared dan burung enggang
jenis Rhinoceros.
Program yang dijalankan dengan kerjasama IJM Plantations Berhad itu juga mendedahkan kepada anggota kelab mengenai usaha pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan oleh IJM di kawasan itu.
– Bernama