Pendaftaran biometrik pekerja asing berjalan lancar

Pendaftaran biometrik pekerja asing berjalan lancar

Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang sah bermula hari ini selama dua minggu, dengan syarikat besar yang mempunyai jumlah pekerja melebihi 500 orang dikehendaki mendaftar awal.

Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang sah bermula hari ini selama dua minggu, dengan syarikat besar yang mempunyai jumlah pekerja melebihi 500 orang dikehendaki mendaftar awal.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Mahmood Adam berkata proses pendaftaran Biometrik itu berjalan lancar sejak dimulakan pagi tadi di Jabatan Imigresen seluruh negara.

“Dengan Biometrik ini, Jabatan Imigresen berupaya mengenal pasti dengan tepat pekerja asing yang sah dan yang telah lari daripada majikan termasuk mereka yang telah membuang dokumen pengenalan diri sedia ada dan menukar dengan
dokumen baru dengan identiti yang berbeza.

“Melalui teknologi ini, kita dapat mengumpulkan semua maklumat mengenai setiap individu termasuk gambar, geometri muka dan tangan, ukuran iris mata atau cap jari dan maklumat lain yang biasanya terkandung dalam teknologi ini termasuk nama penuh, nama ibu bapa, alamat, pekerjaan, kerakyatan dan jenis darah individu tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Program pendaftaran Biometrik akan berlangsung sehingga 31 Julai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata ketidaksamaan data yang disimpan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen melalui pendaftaran biometrik seperti yang dilaporkan
tidak perlu dijadikan isu besar.

Beliau berkata PDRM masih mempunyai masa untuk berbincang dengan Jabatan Imigresen mengenai penyimpanan data-data melalui kaedah biometrik itu dan menilai keberkesanan sistem tersebut.

“Laporan bahawa pangkalan data kita (PDRM) dan Jabatan Imigresen tak terangkai itu seolah-olah macam kita tak bekerjasama antara satu sama lain. Kita masih di bawah satu kementerian, masih ada ruang untuk kita berbincang tentang kaedah terbaik tentang hal ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata pihak media tidak sepatutnya menggembar-gemburkannya sebaliknya melihat peralatan atau kemudahan yang digunakan PDRM untuk merekod cap jari melalui Sistem Identifikasi Cap Jari Biometrik (Biofis), sesuatu yang harus dibanggakan.

Katanya Biofis yang dapat mengenal pasti suspek kes jenayah, dilihat satu sistem yang bagus dan dapat membantu agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan hal keselamatan.

“Saya tak mahu komen secara teknikal pasal terangkai atau tidak pangkalan data kita. Saya percaya mereka (Jabatan Imigresen) sudah mempunyai keputusan terbaik untuk semua pihak. Itu biar kita bincang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Pelanggan Imigresen Putrajaya Jefri Zeunaidi yang dihubungi berkata kaunter pendaftaran Biometrik sesak dengan majikan dan pekerja asing yang ingin berdaftar.

“Sambutan amat menggalakkan di pejabat kami yang beroperasi dari 7.30 pagi sehingga 10 malam selama 2 minggu ini.

“Justeru saya sekali lagi menasihati seluruh majikan yang mempunyai pekerja asing yang sah untuk mendaftar biodata serta biometrik mereka dan janganlah tunggu sehingga ke saat akhir,” katanya.

– Bernama