Seorang suri rumah yang sedang berbual dengan jirannya dan seorang lagi yang sedang menyidai pakaian kerugian hampir RM30,000 selepas disamun seorang lelaki bermotosikal.
Dalam kejadian berasingan semalam, suspek yang bersenjatakan parang bertindak nekad menyamun barang kemas kedua-dua mangsa terbabit.
Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata pada kejadian 11 pagi itu, mangsa pertama, 58, sedang berbual dengan seorang jirannya di Taman Shahbandar, Raub.
“Ketika sedang berborak di luar rumah jirannya, suspek yang menaiki motosikal bertindak meluru ke arah mangsa dan mengacukan sebilah parang sebelum bertindak melarikan gelang yang dipakai mangsa,” katanya kepada pemberita di
sini, hari ini.
Gelang mangsa dianggarkan bernilai RM3,000. Suspek kemudiannya melarikan diri dengan motorsikal dan melakukan samun terhadap seorang lagi wanita berusia 55 tahun di Taman Intan, Raub kira-kira setengah jam kemudiannya.
“Ketika kejadian, mangsa sedang menyidai pakaian di luar pagar rumahnya,” katanya.
Suspek turut mengacukan sebilah parang sebelum bertindak menyamun empat jenis barang kemas yang dipakai mangsa, didakwa bernilai RM26,600, kata Noor Asyikin.
Polis sedang mengesan suspek terbabit dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
– Bernama