Setiap wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dipilih serta anggota Senator yang dilantik tidak
harus beremosi dan biadap semasa menghadiri persidangan Dewan.
Yang Dipertua Dewan Negara Abu Zahar Ujang berkata sikap itu menunjukkan bahawa wakil rakyat itu tidak mengetahui etika dan peraturan pada persidangan Dewan dan tidak melayakkan mereka untuk berada di dalam Dewan semasa persidangan berlangsung.
“Sekiranya Speaker itu tegas dan mengetahui cara mengendalikan Dewan, beliau berhak bertindak sewajarnya seperti menghalau keluar Dewan dan gantung (daripada menghadiri Dewan),” katanya ketika mengulas mengenai Anggota DUN Melaka Goh Leong San (DAP-Kesidang) semalam digantung daripada menghadiri persidangan selama tiga hari kerana gagal mematuhi peraturan dewan ketika berbahas mengenai isu mesin judi haram di negeri itu.
Abu Zahar berkata setiap wakil rakyat sepatutnya mengetahui cara-cara berbahas mengenai sesuatu isu dalam suasana prinsip demokrasi seperti yang diamalkan di negara ini sejak sekian lama.
Terdahulu, Abu Zahar menerima kunjungan hormat Duta Besar Brazil Sergio De Souza Fontes Arruda yang bertujuan untuk mengadakan perbincangan serta berkongsi idea mengenai sistem pentabiran negara masing-masing dari aspek ekonomi, sosial dan politik.
Dalam pertemuan selama 30 minit itu, Abu Zahar berkata Fontes Arruda turut mempelawa anggota Parlimen Malaysia melawat Brazil.
“Beliau (Fontes Arruda) mengakui sistem di Brazil mempunyai persamaan dengan negara ini iaitu amalan demokrasi serta wakil rakyat dipilih dan mengkagumi dasar Malaysia yang tidak mahu campur tangan dengan urusan negara lain, hubungan baik dua hala antara negara lain dan menghargai hubungan rapat negara Asean di rantau ini sebagai satu kumpulan penting dari segi ekonomi dan politik,” katanya.
Fontes Arruda, 68, mula bertugas di Kuala Lumpur sejak Oktober 2008 dan bertauliah di Brunei sejak Ogos 2009.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai perhimpunan haram pada Sabtu lepas, Fontes Arruda yakin Malaysia mampu menanganinya dengan cara yang terbaik.
Katanya peristiwa seperti itu tidak akan menghalang Malaysia dan Brazil untuk terus meningkatkan hubungan baik dua hala.
– Bernama