Polis Pulau Pinang menahan seorang wanita warga Vietnam dan merampas dadah jenis syabu seberat 2.7 kilogram bernilai RM675,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Ayub Yaakob berkata wanita yang berusia 23 tahun itu ditahan pada pukul 10.10 pagi kerana berada dalam keadaan mencurigakan ketika sedang berjalan keluar dari bahagian ketibaan LTAPP.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg dibawanya, polis menemui sejumlah dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam satu ruang khas beg wanita terbabit,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita berkenaan menaiki sebuah pesawat dari Utopia, Brazil dan transit di Mumbai, India sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan meneruskan penerbangan ke LTAPP.
“Siasatan juga mendapati wanita yang tidak bekerja itu pernah dua kali masuk ke Malaysia dan kali terakhir pada bulan lepas,” katanya.
Ayub berkata dadah yang dibawa wanita berkenaan dipercayai untuk diserahkan kepada satu sindiket di negeri ini sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
Katanya polis tidak menolak kemungkinan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menjadikan wanita terbabit sebagai ‘keldai dadah’ mereka.
“Siasatan juga mendapati sindiket pengedaran dadah antabangsa memilih mangsa mereka melalui internet dan sasarannya ialah wanita yang suka berfoya-foya dan yang mahukan wang dengan cara cepat, salah seorangnya adalah
wanita yang kita tahan itu,” kata beliau.
Wanita yang berstatus janda itu kini direman hingga 3 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
– Bernama