Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan pentadbiran sesebuah kerajaan Islam perlu adil, berjaya dan membawa kemakmuran kepada orang Islam dan bukan Islam.
Tun Mahathir yang juga Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan berkata ia perlu menepati ajaran Islam sebenarnya supaya menjadi sebuah pentadbiran yang terbaik.

Mengulas lanjut pertubuhan Perkim, menurutnya, pertubuhan itu bukannya mengetengahkan ajaran Islam semata-mata.
“Sebaliknya pertubuhan itu memberi gambaran baik kepada seluruh dunia mencerminkan ajaran agama Islam sebenarnya,” katanya.

Untuk menjadi seorang pendakwah, menurutnya, individu itu mestilah seorang yang berjaya bukan sahaja dalam bidang agama tetapi dalam bidang akademik yang lain.
“Kalau pendakwah seorang yang daif dan pakaian baju koyak dan menyuruh orang memeluk agama Islam. Ia sudah semestinya memberikan pandangan negatif kepada masyarakat,” katanya.









