Selangor tidak lantik kontraktor penyelamat projek rumah terbengkalai

Selangor tidak lantik kontraktor penyelamat projek rumah terbengkalai

Terpulanglah kepada pemaju asal, bank atau pelikuidasi untuk memilih tawaran yang terbaik dari pihak-pihak yang berminat untuk memulihkan sesuatu projek, ujar Exco perumahan, pengurusan bangunan dan setinggan, Iskandar Samad.

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah melantik kontraktor atau pemaju untuk menyelamatkan mana-mana projek terbengkalai.

Exco perumahan, pengurusan bangunan dan setinggan, Iskandar Samad berkata terpulanglah kepada pemaju asal, bank atau pelikuidasi untuk memilih tawaran yang terbaik dari pihak-pihak yang berminat untuk memulihkan sesuatu projek.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor hanya bertindak sebagai fasilitator.

“Jawatankuasa Khas Projek Terbengkalai Kerajaan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh saya bermesyuarat dua minggu sekali untuk membincangkan cara-cara untuk mempercepatkan pemulihan projek-projek yang terbengkalai.

“Manakala wakil-wakil Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor, Pejabat Tanah Dan Galian Selangor serta Pentadbir Tanah Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan merupakan ahli jawatankuasa tersebut. Turut dijemput adalah wakil-wakil Syabas dan TNB. Wakil-wakil pembeli juga kadang kala dijemput jika ada keperluan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

See also  Discover modern living at TuJu Residences & Retail

Mengulas lanjut, Iskandar berkata pemaju atau kontraktor penyelamat akan membentangkan projek mereka.

Menurutnya, masalah-masalah yang selalu dibincangkan adalah yang melibatkan kelulusan dari pihak berkuasa tempatan, jabatan-jabatan kerajaan atau agensi-agensi yang berkaitan.

“Walaupun pemulihan projek-projek menjadi keutamaan namun Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara yang melibatkan keselamatan dan kemudahan rakyat. Pemaju mestilah mematuhi segala kehendak undang-undang,” katanya.

Selain itu, Iskandar berkata terdapat juga kontraktor dan pemaju penyelamat yang mendapati projek mereka dibebani dengan cukai-cukai yang tertunggak. Di dalam hal ini mereka boleh memohon agar cukai ini dibayar secara berperingkat.

“Oleh itu, secara kesimpulannya jawatankuasa itu bertindak sebagai ‘one stop centre’ untuk memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai,” katanya.

See also  Savvy @ Riana Dutamas: Redefining urban living