Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bercadang memperluaskan penyerapan anggota tentera pelbagai pangkat yang bersara selepas berkhidmat 21 tahun ke perkhidmatan kerajaan lain selain sebagai polis dan warder penjara.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berkata bakal pesara ATM ini akan diserapkan dalam perkhidmatan kerajaan melalui konsep “Strategi Lautan Biru” (Blue Ocean Strategy).
“Cara ini amat menarik dimana pesara ATM yang berhenti pada umur 42 tahun sebagai penjawat awam dalam ATM boleh menyambung khidmat dengan jabatan kerajaan yang lain di mana umur bersara adalah 58 tahun.
“Maka beliau (pesara tentera ini) mempunyai masa lebih dari 16 tahun lagi untuk berkhidmat dalam kerajaan,” katanya kepada pemberita semalam.
Zulkefli sebelum itu menyampaikan sijil kepada 634 bakal pesara ATM yang tamat menjalani pelbagai kursus di antara enam hingga 18 bulan, termasuk kursus jahitan, jurubina bangunan, mekanik kenderaan motor dan pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang dianjurkan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
Beliau berkata setakat ini Kementerian Pertahanan sedang berbincang dengan Jabatan Penjara untuk menyerap anggota tentera pelbagai pangkat yang bersara itu sebagai warder, selain mereka menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
– Bernama