Selangor kesal gangguan bekalan air berlanjutan tiga hari

Selangor kesal gangguan bekalan air berlanjutan tiga hari

Pengerusi jawatankuasa tetap pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar, Elizabeth Wong berkata Kerajaan Negeri amat kesal dengan gangguan bekalan air yang kini berlaku di beberapa daerah di Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor amat kesal dengan gangguan bekalan air yang kini berlaku di beberapa daerah di Selangor.

Pengerusi jawatankuasa tetap pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar, Elizabeth Wong berkata gangguan yang diumumkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) ini dilaporkan akan berlanjutan selama tiga hari.

Menurutnya, ia sudah pastinya menjejaskan seramai sejuta penduduk di daerah Petaling, Hulu Selangor, Gombak dan juga Kuala Lumpur.

“Saya ingin menekan bahawa gangguan ini bukan disebabkan kekurangan
bekalan air, tetapi kerja-kerja penyelenggaraan oleh Syabas,” katanya menerusi satu kenyataan media, lewat malam tadi.

Elizabeth yang juga Ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor menjelaskan bahawa simpanan air empangan masih berada pada tahap yang tinggi dan mengikut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Menurutnya, Kenyataan pihak Syabas hari ini menyalahkan perundingan penstrukturan semula aset air langsung tidak tepat.

“Penswastaan aset air telah dilaksanakan pada tahun 1997 dan sejak itu, Syabas tidak menjalankan kerja-kerja menaiktaraf kepada loji-loji perawatan air yang sepatutnya.

“Pada hari ini pula, perundingan dengan Kerajaan Negeri senang-senang
digunakan sebagai alasan menghalang syarikat swasta tersebut dari
menaiktaraf infrastrukturnya di mana sepatutnya kerja-kerja ini dibuat sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, Elizabeth berkata Kerajaan Negeri Selangor menyeru Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau untuk menilai semula kecekapan dan keupayaan Syabas ini dalam pengurusan sistem bekalan air kepada penduduk negeri yang paling maju di Malaysia.

Menurutnya, kerajaan negeri akan tetap berusaha memastikan bekalan air yang mencukupi kepada semua.

“Pada tahun ini, kami telah memeriksa dan memastikan semua empangan dalam keadaan yang baik dan cukup untuk membekalkan sumber air kepada semua loji-loji pembersihan air di Selangor.

“Tambahan itu, Kerajaan Negeri telah membuat persediaan untuk
menangani masalah sekiranya jangkaan musim kering atau fenomena
El-Nino melanda Malaysia,” katanya.

Kedudukan tahap simpanan air empangan pada 21 Jun 2011 adalah seperti yang berikut :

• Empangan Sungai Selangor pada tahap 98.81 peratus dan Sungai Tinggi pada tahap 99.17 peratus. Kedua-dua empangan ini menjadi sumber air 60 peratus bekalan
air minum ke Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).
• Empangan Sungai Batu pada tahap 100 peratus.
• Empangan Klang Gate pada tahap 100 peratus.
• Empangan Sungai Semenyih pada tahap 100 peratus.
• Empangan Sungai Langat pada tahap 100 peratus.
• Empangan Tasik Subang pada tahap 96.88 peratus.