Persatuan Pemilik/Pemandu Teksi Rumpun Melayu Tawau (Persarum) akan menubuhkan sebuah koperasi untuk memberi manfaat kepada 800 anggotanya.
Pengerusinya, Tamrin Eraba berkata, persatuan sedang menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia berhubung permohonan penubuhan koperasi itu.
“Sudah tiba masanya Persarum memikirkan cara untuk membantu ahli dan anggota keluarga mereka memandangkan kos hidup kian tinggi berbanding pendapatan harian yang terhad,” katanya kepada pemberita.
Menurut Tamrin, pada masa ini, purata pendapatan bersih seorang pemandu teksi di Tawau ialah RM30 sehari atau RM900 sebulan dan jumlah itu amat kecil untuk sebuah keluarga menjalani kehidupan selesa.
Dengan adanya koperasi itu nanti, banyak aktiviti boleh dilakukan untuk meringankan beban hidup pemilik atau pemandu teksi termasuk membuka bengkel menyelenggara teksi ahli dengan kadar bayaran berpatutan, katanya.
– Bernama