Lebih 800 kakitangan SUK Shah Alam terpaksa mengosongkan bangunan selepas merasai gegaran di menara pejabat setinggi 24 tingkat itu.
Loceng kecemasan turut dibunyikan pada kira-kira jam 8 pagi dan kakitangan diarahkan supaya turun dan berkumpul di satu ruang di luar bangunan berkenaan.
Salah seorang kakitangan, Raja Kamariah Raja Maarof, berkata beliau dan rakannya merasai gegaran ketika berada di tingkat 5 bangunan tersebut.
Pada mulanyanya, beliau dan seorang rakannya tidak menjangkakan bahawa gegaran tersebut berpunca daripada gempa bumi, kata Raja Kamariah.
“Gegaran berlaku dalam beberapa saat, Kami rasa pening, melihat manila kad digantung atas siling bergerak, kami berpandangan sesama sendiri.
“Selepas beberapa minit gegaran pertama kemudiannya penggera kebakaran berbunyi dan kami bergegas keluar daripada bangunan.
“Bila sampai dibawah kami melihat sebuah jentera bomba sudah berada diluar perkarangan bangunan,” katanya ditemui Komunitikini.
Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersetuju dengan cadangan Bomba untuk membenarkan kakitangan bangunan SUK masuk balik selepas jam 2 tengahari.
” Gegaran keempat dijangka akan lebih kuat,” katanya menerusi laman sosial twitter.
Komunitikini mendapati kakitangan itu dilihat memasuki bangunan tersebut kira-kira jam 2 tengah hari tadi.
Memetik laporan Bernama hari ini, beberapa kawasan di sekitar ibu negara, Putrajaya, Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan dilaporkan mengalami gegaran ekoran insiden gempa bumi yang berlaku di Sumatera Utara, Indonesia.
Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan gempa bumi bermagnitud 5.5 pada skala Ritcher di Sumatera Utara dikesan pada pukul 8.08 pagi ini manakala gempa bumi kedua bermagnitud 5.7 dilaporkan berlaku pada 11.01 pagi.
Ekoran kejadian gempa bumi itu, beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia dilaporkan mengalami gegaran.
Kejadian gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut Jabatan Meteorologi.