Sebuah bilik belajar di Asrama Putera Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad di sini terbakar awal pagi ini.
Ketua Sektor Pengurusan dan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah Mohamad Abd Hamid berkata kebakaran pada pukul 2 pagi itu disedari oleh pelajar yang tinggal berhampiran bilik belajar berkenaan.
“Bilik belajar itu terletak di tingkat dua asrama dan terdapat 106 pelajar lelaki yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu hingga Lima menginap di asrama itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran hari ini.
Beliau berkata semua pelajar ditempatkan di surau sekolah berkenaan buatsementara waktu.
Seorang pelajar yang enggan dikenali berkata dia terhidu bau asap dan terus memaklumkan perkara itu kepada rakan-rakan lain.
“Ramai yang sedang tidur ketika kejadian dan kami kelam-kabut keluar dari asrama untuk menyelamatkan diri.
“Nasib baik bomba bertindak pantas dan api dapat dikawal sebelum merebak ke bilik kami,” katanya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang Abdul Manaf Yusof berkata sebuah jentera dengan lima anggota dari balai bomba itu mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran.
Punca kebakaran masih dalam siasatan manakala jumlah kerugian dianggarkan RM5,600, katanya.
– Bernama