Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Pulau Pinang semalam membuat laporan polis berhubung langkah kerajaan negeri pimpinan DAP mengadakan pengundian memilih pegawai-pegawai masjid di negeri itu.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Barat Daya, Arshad Kassim, yang membuat laporan itu di Balai Polis Bayan Baru, berkata tindakan kerajaan negeri itu tidak wajar kerana ia mempolitikkan isu masjid untuk
kepentingan peribadi semata-mata.
“Apa tujuan berbuat demikian, kita nak masjid harmoni, biar ditadbir bersama-sama, bukan dengan cara ini,” katanya kepada pemberita.
Kerajaan negeri telah memutuskan kaedah pemilihan Anggota Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negeri menggunakan sistem pengundian dalam kertas undi ala pilihan raya.
Arshad juga membuat laporan polis berhubung beberapa blog yang memaparkan mengenai perhimpunan Bersih 2 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.
Beliau mendakwa blog berkenaan menghasut rakyat supaya berhimpun bagi membantah dasar kerajaan.
– Bernama