Peningkatan populasi tikus di Bandaraya Kota Kinabalu semakin mengancam industri pelancongan Sabah yang menjadi punca pendapatan utama pada masa kini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir berkata tikus yang berkeliaran akan menjejaskan imej bandar raya dan industri pelancongan serta akan memaparkan kehidupan masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan dan kurang kesedaran tentang penyakit yang dibawa oleh tikus.
Beliau berkata purata tikus yang ditangkap oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) setiap bulan di Pasar Besar meningkat kepada 160 ekor berbanding hanya 80 ekor sebulan pada tahun lepas.
“Kempen kawalan tikus ini adalah kesinambungan daripada program kawalan yang telah dan sedang dijalankan oleh DBKK dan dijalankan dengan lebih intensif dan agresif ekoran peningkatan populasi tikus di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya ketika merasmikan kempen kawalan tikus semalam.
Abidin berkata peningkatan ini membimbangkan kerana fakta menunjukkan bahawa tikus dikaitkan dengan penyakit bawaan seperti Leptospirosis.
Najis tikus mempunyai 230,000 kuman salmonella yang boleh mengakibatkan penyakit keracunan makanan dan penyakit Bubinic Plague (tangan dan mulut), Aujesky’s Classical Swine Fever dan rat bite fever sering diakibatkan oleh
tikus.
Kempen bertemakan “tiada sisa makanan, tiada tikus” itu disasarkan kepada para pengusaha premis makanan dan minuman, penjaja, perbadanan pengurusan di pusat beli-belah, jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.
Beliau berkata masyarakat perlu meningkatkan tahap kebersihan di premis masing-masing dan membuang sisa-sisa makanan dengan cara yang betul iaitu mengeringkan terlebih dahulu sisa makanan dan membungkus dengan bekas yang tidak bocor sebelum memasukkannya ke dalam tong sampah.
Katanya DBKK sendiri dalam peringkat akhir persediaan untuk memperkenalkan sistem pengasingan sisa makanan dari premis-premis makanan dan projek perintis program kawalan tikus.
– Bernama