Pergerakan Pemuda Umno bakal melancarkan Briged Kesatria Pemuda Umno dalam masa terdekat untuk menjadi barisan hadapan parti dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata kumpulan khas, yang dahulunya dikenali sebagai ‘gerak gempur’, ditubuh dan dibentuk semula bagi menjalankan tugas-tugas yang berhubung kait dengan pembabitan Pemuda dalam program utama Umno.
“Briged Kesatria yang akan diketuai oleh saya (Khairy) juga berfungsi menjaga keselamatan, menyuntik semangat dan menjalani latihan untuk menjadi pemimpin pelapis akan datang.
“Ini adalah kumpulan elit yang kita cari di setiap bahagian terutama dibawah umur 30 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Shah Alam semalam.
Khairy berkata sebagai permulaan, pihaknya menjangkakan keanggotaan lebih30,000 orang di seluruh negara dan proses pemilihan akan dijalankan dalam tempohdua bulan ini.
Anggota Briged Kesatria Pergerakan Pemuda Umno yang terpilih akan melalui kursus ala ketenteraan dan bersifat ilmiah bagi membentuk mereka sebagai pemimpin generasi akan datang, katanya.
– Bernama