Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini melancarkan petisyen mengumpul tandatangan penduduk membantah penganjuran konsert MTV World Stage yang akan diadakan di I-City Shah Alam pada 24 Julai ini.
Katanya, petisyen itu akan diserahkan kepada pejabat menteri besar Selangor dan datuk bandar Shah Alam pada akhir bulan ini.
“Kita dah buat surat bantahan akan diserahkan kepada menteri besar, datuk bandar, seluruh ahli majlis dan pihak pengurusan I-City Shah Alam dalam masa terdekat.

Dalam sidang media yang sama, ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail berpendapat sekiranya konsert itu diadakan semata-mata untuk publisiti dan mempromosikan I-City Shah Alam, ia sudah bertentangan daripada tujuan asal.
Ditanya sama ada bantahan mereka memberi kesan negatif terhadap pelancongan di Shah Alam, Rodziah (kanan) menafikannya.

Rodziah yang juga exco jawatankuasa tetap kebajikan, hal ehwal wanita, sains, teknologi dan inovasi selangor berkata, sudah beberapa kali mereka mengemukakan bantahan berhubung gangguan kepada penduduk setiap kali aktiviti hiburan diadakan.
“Bukan hari ini kita buat petisyen, dahulunya mereka membuat program hiburan (dengan) alasan memperkenalkan kawasan kepada orang ramai. Sekarang dah dua tahun, cukuplah itu, dah kena kembali kepada konsep asal,” katanya.









