Pangsapuri PJS1: Kerajaan Selangor bertindak untuk bekukan projek

Pangsapuri PJS1: Kerajaan Selangor bertindak untuk bekukan projek

Pembangunan projek pangsapuri PJS1 telah dibekukan kerajaan Selangor sehingga masalah penempatan setinggan dan tapak sekolah diselesaikan.

Gambar oleh Leven Woon

 

 

Kerajaan Selangor telah mengarahkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan “stop work order” (pembekuan kerja pembangunan) ke atas  Projek Pangsapuri di PJS1, mengikut kenyataan rasmi yang dikeluarkannya hari ini.

Pembekuan kerja kepada pemaju Peter’s Brickworks  Sdn Bhd berkuatkuasa Isnin 30 Mei sehingga masalah penempatan peneroka bandar  serta masalah penempatan sekolah diselesaikan.

Keputusan itu dibuat memandangkan masalah sekolah, penempatan penduduk serta banjir di kawasan tersebut masih tiada penyelesaian sejak 2003.

“Kita perlu melihat semua isu yang terlibat supaya satu penyelesaian yang menyeluruh boleh dicapai,” kata Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim, dalam kenyataan itu.

Sejarah rumit

Peneroka bandar di kawasan PJS1 telah ditempatkan di rumah panjang semenjak 2003 untuk memberi laluan kepada pembangunan  atas tanah persendirian oleh Syarikat Peter’s Brickworks yang mana mereka juga telah dijanjikan rumah.

Projek berkenaan berdepan masalah dan tidak boleh diteruskan apabila penduduk bangolo sekitar tapak pembinaan memfailkan bantahan ke mahkamah.

Namun, baru-baru ini mahkamah telah membenarkan syarikat berkenaan meneruskan projek meskipun ada tiga keluarga setinggan yang enggan berpindah kerana masih lagi tidak memiliki rumah yang dijanjikan.

Polisi setinggan sifar

Khalid berkata masalah begini berlaku kerana polisi setinggan sifar oleh pentadbiran terdahulu telah gagal menyelesaikan masalah penempatan setinggan secara menyeluruh.

“Dengan hanya membina rumah panjang tidak akan menyelesaikan masalah. Rumah panjang  yang sepatutnya untuk sementara akhirnya diduduki bertahun-tahun dan apabila masalah lain timbul, ia menjadi semakin rumit,” ulas beliau.

Katanya lagi, kerajaan Selangor perlu membuat perancangan yang teliti bagi memastikan isu setinggan di negeri ini diselesaikan dengan baik dan memberi manfaat kepada kepada semua pihak terutama rakyat berpendapatan rendah.

Dalam isu PSJ1, polisi setinggan sifar bukan sahaja tidak menyelesaikan isu penempatan peneroka bandar tetapi juga menidakkan hak penduduk tempatan untuk memiliki sekolah, tambahnya.

Bagaimanapun  Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan bekerjasama dengan semua pihak supaya peneroka bandar PJS1 mendapat rumah mampu milik seperti yang dijanjikan.

“Kita tidak menghalang projek-projek pembangunan kerana ia akan merangsangkan lagi pembangunan ekonomi negeri. Pada masa yang sama kita juga cuba menyeimbangkan kepentingan ekonomi dengan kepentingan rakyat,” kata Menteri Besar.

Khalid juga telah mengarahkan MBPJ membuat perancangan  pembangunan melibatkan tanah seluas empat ekar di PJS1 untuk membina perumahan mampu milik kepada peneroka bandar di kawasan tersebut.

Tanah untuk sekolah peneroka bandar diguna untuk bina sekolah lain

Tanah seluas empat ekar itu (yang kini menempatkan sebahagian rumah panjang yang dihuni peneroka bandar), asalnya diwartakan sebagai tapak sekolah tetapi kerajaan Selangor dimaklumkan bahawa kerajaan pusat telah pun menggunakan peruntukkan itu untuk membina sekolah lain. (Kerajaan pusat bertanggungjawab ke atas polisi pendidikan and isu persekolahan.)

Sehubungan itu, kerajaan Selangor akan menulis surat kepada Ketua Pengarah Tanah dan Galian supaya memulangkan semula tanah itu kepada kerajaan negeri, seterusnya membolehkan kerajaan negeri menyelesaikan masalah setinggan di kawasan berkenaan secara lebih menyeluruh.

Kerajaan negeri juga akan cuba mencari tapak baharu untuk diwartakan sebagai tapak sekolah untuk menampung keperluan lebih 40,000 penduduk setempat.

Masalah banjir

Bagi mengatasi kemungkinan berlakunya banjir, MBPJ bersedia membaiki sistem saliran dan perparitan di kawasan rumah panjang PJS1 dan berharap penduduk serta pemimpin setempat memberi kerjasama sepenuhnya untuk memudahkan kerja-kerja tersebut.