Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti sebidang tanah yang sesuai untuk dibina premis baru bagi menempatkan kanak-kanak dari Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, selepas bangunan lama disahkan tidak selamat diduduki.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Pegawai Daerah Hulu Langat supaya mencari tapak baru yang lebih selamat di sekitar kawasan berkenaan untuk didirikan premis atau bangunan untuk kemudahan anak-anak yatim dan kanak-kanak lain yang mahu mendalami ilmu agama.
Menurutnya, kerajaan negeri akan menawarkan tapak baru yang akan dikenal pasti itu kepada Persatuan Anak-Anak Yatim Malaysia untuk dibina premis baru.
“Kita akan wartakan tapak ini sebagai tapak untuk rumah kebajikan anak-anak yatim dan Madrasah Al-Taqwa bolehlah memohon tapak berkenaan untuk membina bangunan baru dengan bayaran premium paling rendah,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid bertegas mahu mengulangi komitmen kerajaan negeri dalam membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan tapak untuk membina bangunan bagi melaksanakan program-program kebajikan dengan hanya mengenakan bayaran premium tanah sebanyak RM1.
“Bagaimanapun, NGO ini perlu mematuhi semua peraturan dan menjalin kerja sama dengan pihak berkuasa dalam melaksanakan program-program kebajikan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Mengenai anak-anak yatim di Madrasah al-Taqwa, Khalid berkata, usaha sedang dijalankan untuk menempatkan mereka di sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Sebelum ini, menurutnya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) telah menyumbangkan RM1,000 untuk mangsa serta keluarga manakala kerajaan negeri menyumbang RM5,000, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) pula menyalurkan sumbangan RM217,000 untuk diagihkan kepada semua mangsa dan keluarga.
“Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga membiayai penempatan sementara ahli keluarga mangsa di Azwen Resort, sepanjang kerja-kerja mencari dan menyelamat dilakukan.
“Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor dan Yayasan Amal juga dihantar bagi membantu pihak berkuasa menjalankan kerja mencari dan menyelamat selain bantuan keperluan harian kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.