Polis tidak pernah mengeluarkan permit kepada mana-mana pihak yang membenarkan kegiatan melaga ayam dijalankan di Miri, kata Ketua Polis Daerah Miri, ACP Jamaludin Ibrahim.
Katanya undang-undang sedia ada secara jelas telah menunjukkan kegiatan melaga ayam sebagai satu kesalahan penganiayaan terhadap binatang dan turut melibatkan unsur-unsur perjudian.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, beliau berkata permit-permit yang dikeluarkan hanyalah untuk membenarkan perhimpunan untuk sesuatu majlis dijalankan sama ada di rumah-rumah panjang atau premis keraian terbuka lain.
“Jangan anggap permit ini memberi kebenaran untuk menjalankan kegiatan-kegiatan seperti melaga ayam atau perjudian,” katanya semasa ditanya sama ada pihak polis menerima sebarang permohonan untuk menjalankan aktiviti berkenaan berikutan berlangsungnya perayaan Gawai Dayak bermula 1 Jun ini.
Mengakui melaga ayam sebagai satu adat tradisi kaum Dayak di Sarawak, Jamaludin berkata pihaknya tidak menghalang asalkan ia dilakukan dalam satu kumpulan kecil individu dengan sepasang ayam laga sahaja dan tiada melibatkan pertaruhan wang.
Sementara itu, beliau mengingatkan mereka yang akan meninggalkan rumah mereka semasa tempoh musim perayaan itu untuk mengambil langkah-langkah keselamatan dan pencegahan jenayah bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Ini termasuk memaklumkan kepada polis di balai yang terdekat berkenaan tempoh mereka meninggalkan kediaman mereka supaya rondaan lebih kerap dapat dilakukan,” katanya.
Pemilik rumah juga diminta untuk menghentikan langganan akhbar atau barangan lain yang dihantar setiap hari ke kediaman mereka semasa tempoh itu, selain memasang peralatan lampu yang menyala secara automatik sewaktu gelap, katanya.
Jamaludin turut menasihatkan mereka yang akan melakukan perjalanan jauh menggunakan jalan raya untuk bergerak secara berkumpulan dan mengelakkan dari berhenti di tempat-tempat yang sunyi di sepanjang perjalanan itu.
“Pastikan pemandu telah mendapat rehat yang secukupnya dan tidak mabuk semasa memandu,” katanya.