Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pihaknya sedia mengkaji cadangan kerajaan Negeri Sembilan untuk menghidupkan semula khidmat tren pelancongan Seremban-Port Dickson.
“Ia adalah cadangan yang baik. Kita perlu buat kajian dahulu kerana dahulu kita ada tren pelancongan (Eastern Orient Express) tetapi projek itu terhenti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan stesen komuter Sungai Gadut hari ini.
Beliau berkata perkhidmatan keretapi seperti komuter, monorail dan LRT sudah semakin popular di negara ini dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak teragak-agak untuk memodenkan perkhidmatannya di samping menambah 38 lagi set tren komuter dari China.
Katanya, walaupun peningkatan tren sangat popular di kalangan masyarakat biasa, kementeriannya juga ingin tahu mengapa syarikat-syarikat minyak yang mempunyai loji di Port Dickson dan Kerteh tidak lagi berminat menggunakan
landasan keretapi untuk mengangkut bahan petrokimia mereka.
“Kita ada landasan keretapi yang digunakan oleh Petronas dari Kuantan ke Kerteh untuk pengangkutan bahan mentah mereka tetapi landasan ini tidak lagi diguna, kita akan kaji,” katanya.
Menteri Besar Mohamad Hasan yang sebelum ini mengemukakan cadangan pembukaan semula laluan rel Seremban-Port Dickson itu turut berharap kerajaan persekutuan dapat memaju dan membesarkan stesen keretapi bandar Seremban sejajar dengan langkah berkenaan.
– Bernama