Penduduk diberi notis pengosongan tiga jam sebelum perobohan

KOTA KINABALU – Notis yang mewujukan kesangsian penduduk Kg Kopungit menuntut mereka mengosongkan premis dalam masa tiga jam sebelum kerja perobohan bermula.

Lawrence Kg Kopungit

Seorang penduduk dari Kg. Kopungit di Kota Kinabalu merasa terkilan dengan kedatangan pihak tertentu ke rumahnya dan meminta dia mengosongkan rumah yang didiami.

Menurut penduduk Paimil @ Lawrence Koris, 62, insiden itu berlaku pada Julai 10, 2014.

Lebih mengejutkan dan sukar diterima ialah notis yang memintanya mengosongkan premis tersebut hnay diberikan tiga jam sebelum kerja perobohan bermula.

Lawrence yang telah pun mendiami tempat tersebut sejak tahun 1976 berasa terkilan kerana apa yang berlaku adalah suatu ketidakwajaran.

Menurutnya notis tersebut tidak mengandungi maklumat asas seperti kertas surat rasmi dan tandatangan, malah tempoh yang diberikan adalah amat singkat.

“Dalam surat cuma memaklumkan kerja merobohkan akan dilakukan di SJK (C) Shan Tao,” kata Lawrence.

Menurutnya lagi, pada September 2, 2013 tahun lepas, beliau menerima notis daripada Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) untuk mengosongkan kawasan tapak itu dalam tempoh 30 hari.

House Eviction Demolition Malaysia copy

“Bagaimanapun saya telah mengemukakan surat rayuan lanjutan tempoh selama enam bulan,” kata Lawrence sambil menegaskan yang beliau selama ini hanya berurusan dengan pihak LPPB dan bukannya dengan pihak lain.

Beliau sentiasa menunggu jawapan tersebut, tetapi sehingga Julai 10 lepas, beliau tidak ada menerima sebarang maklumbalas daripada LPPB memaklumkan akan status rayuan itu.

“Sebab itu saya terkejut apabila pada Julai 10 lalu pihak yang mengaku sebagai pengusaha tanah datang dan memberi saya tempoh tiga jam sahaja untuk memindahkan barang-barang sebelum mereka melakukan kerja-kerja merobohkan rumah kami,” katanya.

Ekoran daripada itu, Lawrence telah membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing bertujuan keselamatan dan tuntutan ganti rugi.

Sementara itu, rumah kepunyaan anak Lawrence, Suzie, 32, yang terletak bersebelahan telah dirobohkan sepenuhnya.

Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia Datuk Peter Anthony menyelar cara pihak tertentu merobohkan dua buah rumah milik penduduk tempatan tersebut.

“Kita pun tidak tahu siapa sebenarnya yang bertanggungjawab merobohkan rumah tersebut kerana notis yang digunapakai tidak ada `letter head’ dan tiada tandatangan. Cuma dimaklumkan dalam surat itu yang kerja merobohkan rumah itu akan dilakukan SJK (C) Shan Tao.

“Ia jadi kemusyikilan kerana pemilik rumah itu sebelum ini berurusan dengan LPPB,” katanya.

“Saya dimaklumkan bahawa pemilik rumah hanya diberi tempoh tiga jam untuk mengeluarkan barang-barang mereka sebelum kerja-kerja merobohkan dilakukan,“ kata Peter lagi yang turut menyelar ketidakwajaran pihak yang merobohkan rumah-rumah tersebut.

“Sebagai penduduk tempatan yang telah mendiami kawasan itu sejak 1976, ia adalah tindakan tidak wajar. Mereka sewajarnya diberi ruang termasuk memberi pampasan kepada mereka,”katanya.

Peter berkata, tindakan merobohkan rumah penduduk tempatan itu memberi imej yang tidak baik kepada kerajaan negeri.

“Saya dimaklumkan bahawa ada penduduk di Pulau Gaya akan diberi penempatan baru di Kinarut tetapi agak malang apabila penduduk tempatan kita sendiri dilayan seperti pelarian. Penduduk tempatan yang bermasalah sepatutnya dibantu dan bukannya diusir begitu sahaja,” katanya.

Peter mengarahkan ahli KDM supaya membantu keluarga Lawrence.

Gary Louis Supi