Kawasan yang sebelum ini kurang menjadi tumpuan, hari ini menjadi perhatian berikutan orang ramai ingin melihat secara dekat lokasi tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, dekat sini, hari ini.
Rumah anak yatim itu menempatkan 49 penghuni terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan dan mempunyai tiga bangunan iaitu asrama, surau dan dewan terbuka.
Sejak petang tadi, orang ramai ternmasuk penduduk berhampiran, sudah mula memenuhi jalan masuk ke kawasan itu sepanjang dua kilometer walaupun mereka ditegah oleh pasukan polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Kereta-kereta dari kawasan luar juga sudah tidak dibenarkan memasuki dan menghampiri kawasan berdekatan namun, itu tidak menghalang orang awam untuk berjalan kaki sejauh lima kilometer untuk melihat dan mengetahui perkembangan terkini kejadian yang telah mengorbankan 12 nyawa setakat ini.
Bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat, pasukan petugas telah mendirikan khemah khas yang dijadikan bilik gerakan untuk menempatkan peralatan serta menyalurkan maklumat terkini kepada petugas-petugas termasuk petugas media yang mula berkampung sejak petang tadi.
Pita kuning juga dipasang bagi mengelak orang ramai memasuki kawasan kejadian supaya kerja-kerja mencari dan menyelamat berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan
Hujan lebat sejak kira-kira 6 petang tadi, sedikit pun tidak menghalang operasi mencari dan menyelamat yang disertai 200 anggota terdiri daripada pasukan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.
Menurut Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah pasukan mencari dan menyelamat akan meneruskan misi mencari sehingga empat mangsa yang tertimbus ditemui.
Penyodok, cangkul dan tangan digunakan
“Misi mencari tidak akan dihentikan hingga semua mangsa ditemui. Buat masa ini, kita menggunakan peralatan ringan seperti penyodok, cangkul dan tangan untuk menggali runtuhan tanah. Kita juga menggunakan lampu tambahan bagi memudahkan proses menyelamat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata jentolak tidak digunakan bagi mengorek runtuhan itu memandangkan cerun yang tinggi dan dikhuatiri berlaku kejadian tanah runtuh lagi memandangkan masih ada pergerakan tanah.
Khidmat tujuh ekor anjing
Misi menyelamat itu turut menggunakan khidmat tujuh ekor anjing untuk mengesan kedudukan mangsa yang tertimbus di celah-celah runtuhan serta dua jentolak turut kelihatan di tempat kejadian. Sementara itu, 24 lagi penghuni rumah anak yatim yang dapat menyelamatkan diri dalam tragedi itu, kini ditempatkan di Lembah Azwin Resort.
— Bernama