Dilema pemandu bas ekspress di Malaysia

Dilema pemandu bas ekspress di Malaysia

10.10.10 tarikh tragedi yang meningatkan kita tentang kemalangan ngeri yg berlaku di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Empat, Melaka.

10.10.10 tarikh tragedi yang meningatkan kita tentang kemalangan ngeri yg berlaku di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Empat, Melaka. Dalam kejadian yang membabitkan dua bas ekspress,sebuah van dan tiga buah kereta itu, telah mengakibatkan 12 nyawa terkorban dan 40 orang yang lain cedera dan dimasukkan ke hospital.

Tragedi berdarah ini telah meninggalkan satu titik hitam kepada sejarah negara dan dari situ kita dapat lihat dan dengar dari banyak pihak, menuding jari sesama sendiri ,bertegang leher dan bertekak lidah siapa yang harus dipersalahkan. Antara pihak yang selalu menjadi mangsa keadaan adalah pemandu bas ekspress itu sendiri. Sejak dari dulu lagi jika ada kemalangan-kemalangan ngeri yang melibatkan bas ekspress pihak yang pasti antara yang terawal dikambing hitamkan adalah pemandu bas.

Tidak dapat dinafikan faktor manusia adalah antara sebab utama kemalangan kemalangan ngeri yang melibatkan bas-bas ekspress di negara kita ini.Tetapi sedarkah kita bukan golongan pemandu sahaja yang harus dipersalahkan dalam hal ini.

Baru-baru ini Komunitikini berkesempatan menemubual seorang pemandu bas ekspress di Pulau Pinang. Beliau yang tidak ingin diketahui identitinya itu berkata manipulasi majikan terhadap pemandu-pemandu bas ekspress di negara ini amat berleluasa sehinggakan ia menjadi umpama wabak yang tidak dapat dibendung lagi.Beliau yang juga pernah mengalami sendiri ketidakadilan itu meluahkan rasa tidak puas hati beliau dengan nada kesal terhadap layanan yang diterima oleh pemandu-pemandu bas ekspress.

Antara dilema yang dihadapi oleh pemandu-pemandu bas ekspress di Malaysia ini menurut beliau adalah isu kebajikan mereka yang tidak terbela. Hampir keseluruhan pemandu bas ekspress yang memandu di lebuhraya –lebuhraya negara kita pada hari ini tidak mempunyai caruman KWSP ataupun Perkeso.

Pemandu- pemandu bas ini juga tidak mempunyai gaji tetap dan kebanyakan mereka ini mendapat bayaran gaji mengikut jumlah kilometer yang mereka pandu. Bagi setiap 350 hingga 370km pemandu akan dibayar sebanyak RM150 dan jumlah itu harus dikongsi bersama pemandu kedua. Ini menyebabkan ramai pemandu bas ekspress hari ini lebih gemar memandu seorang diri bagi mengelakkan upah mereka dibahagi dua. Bak kata pepatah mereka ini umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ,begitulah dilema yang dihadapi oleh pemandu bas ekpress di negara kita hari ini.

Perjalanan yang tidak menentu juga adalah salah satu punca mengapa pemandu bas ekspress cepat keletihan dan ini boleh menjurus kepada kecelakaan.

Kebajikan pemandu bukan sahaja berkisar kepada gaji yang tidak setimpal dengan pengorbanan mereka malahan ia telah menjangkau dan melibatkan kehidupan sosial mereka baik dari sudut keluarga mahupun masyarakat. Dengan pembahagian cuti yang tidak menentu di antara pemandu- pemandu tidak hairanlah apa yg dialami mereka ini wajar diberi perhatian oleh majikan mereka.

Di samping itu juga hampir keseluruhan  pengusaha bas ekspress tidak memperuntukkan insuran berkelompok dan insuran kesihatan kepada pemandu- pemandu mereka. Tidak dapat dinafikan ada juga pengusaha-pengusaha bas ekspress hari ini mempunyai system pengurusan yang bagus dan menitik beratkan kebajikan pekerja-pekerja mereka tetapi apa yang umum tidak ketahui masih ada pengusaha bas ekspress seakan sengaja memanipulasi sistem yang ada bagi mengaut keuntungan yang berlipat ganda.

Dengan ini tidaklah keterlaluan jika kita katakan antara penyumbang kemalangan-kemalangan ngeri yang berlaku di negara ini adalah kerana pincangnya pengurusan syarikat- syarikat bas- bas ekspress yang hanya rakus mengaut keuntungan tanpa memikirkan kebajikan pekerja-pekerja mereka.

Penyelarasan antara pihak-pihak berkuasa negara juga amatlah penting untuk memastikan system yang ada tidak diperkosa oleh mereka yang hanya mementingkan kuantiti dari kualiti. Keadilan untuk mereka yang bersengkang mata dan bersabung nyawa di lebuhraya adalah amat penting untuk menurukan kadar  kemalangan ngeri yang melibatkan bas di  negara kita ini.

Kita tidak mahu bila hanya berlaku kemalangan ngeri di lebuhraya barulah kita mahu terngadah mencari resolusi, tetapi resolusi yang kita cari hanya menjadi lauk yang basi tanpa ada apa penyelesaian. Dan bila sekali lagi terjadi tragedi 10.10.10, kita hanya seakan melakonkan semula sandiwara bagi menutup kepincangan sistem yang kita ada.

 

 

Avatar photo

Imran Hilmy

is born and raised in Penang Island and throughout of his younger days has a knack of lyrics and poem writings.Loves to read on history, politics and religions. He believes that he has a role in making this world a better place through his capacity as a Citizen Journalist in CJ.MY.