Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan memiliki penukul besi dan pisau ketika hadir untuk mendengar keputusan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, tiga hari lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Hassan Ismail, 46, dari Setapak, didakwa memiliki penukul besi yang diletakkan di pinggang kirinya tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa di kawasan tempat letak motosikal di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, pada pukul 9.15 pagi, Isnin lepas.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau berhulu hitam berukuran 18sm yang diletakkan di tempat duduk motosikal Honda EX5 berwarna hitam pada tempat, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Hassan, yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah dia seorang pesakit mental dan pernah mendapatkan rawatan di wad pesakit mental di Hospital Kuala Lumpur.
Hassan juga mendakwa pada malam sebelum kejadian dia menghadiri ceramah ketua pembangkang itu, dan pisau berkenaan digunakan untuk mencabut bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum meletakkannya di motosikalnya.
Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama sebulan untuk mengesahkan status penyakit mentalnya dan menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin.