Bengkel bahasa isyarat erat jalinan komunikasi dua dunia berbeza

Bengkel bahasa isyarat erat jalinan komunikasi dua dunia berbeza

“Saya seringkali terserempak dengan golongan ini ketika keluar berjalan, pernah mereka meminta bantuan tetapi saya menghadapi kesukaran dan hanya berkomunikasi menggunakan kertas dan pen sahaja,” ujar Tan Hock Lai.

Lebih kurang 80 peserta sekitar daerah Petaling Jaya mengikuti bengkel bahasa isyarat sempena dengan Hari Kesedaran Pendengaran di ibu pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Mereka terdiri daripada ahli jawantankuasa Lion`s Club, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi kerajaan.

Salah seorang peserta, Tan Hock Lai,25, ditemui Komunitikini berkata bengkel diadakan sehari itu sangat komprehensif kerana setiap peserta bukan sahaja didedahkan dengan penerangan sebaliknya pelbagai maklumat berguna diperolehi sepanjang mengikuti sesi tersebut.

Menurutnya, setiap peserta dibekalkan dengan buku panduan bahasa isyarat untuk dipraktiskan bila pulang ke rumah.

Selain itu, beliau berpendapat sewajarnya golongan belia mempelajari serta mengikuti kelas bahasa isyarat supaya turut sama berkomunikasi sekali gus dapat membantu golongan mempunyai masalah cacat pendengaran di peringkat usia mereka  tidak dipinggirkan.

See also  MPH Bookstores returns to Alamanda Shopping Centre

“Saya seringkali terserempak dengan golongan ini ketika keluar berjalan pernah mereka meminta bantuan tetapi saya menghadapi kesukaran dan hanya berkomunikasi menggunakan kertas dan pen sahaja.

“Saya berharap bengkel seperti ini dapat dianjurkan dengan kerap kerana akhirnya tiada masalah bagi kita untuk berkomunikasi dengan mereka pada masa hadapan,” katanya yang merupakan kakitangan swasta.

Bengkel yang bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir sekitar jam 4 petang dirasmikan oleh ahli majlis MBPJ, Anthony Siva Balan Thanasayan.

Antara aktiviti turut diadakan adalah ujian pemeriksaan pendengaran percuma oleh pakar audiologi.

Hadir sama, Pengerusi Dewan Lions Clubs International Multiple District 308-Brunei, Malaysia & Singapore Wong Chang Wai dan pegawai Unit Bandar Sejahtera MBPJ, Khairul Nisa Haron.

See also  Arabian Night: Sri KDU students shine in Aladdin Musical

Difahamkan, penganjuran bengkel bahasa isyarat melibatkan agensi penguatkuasaan daerah Petaling Jaya dengan kerjasama Lion`s Club merupakan kali kedua setelah bengkel kali pertama itu diadakan dengan jayanya pada 19 Oktober 2008.

Ia bertujuan untuk memberi kefahaman kepada peserta sekali gus mengaplikasikan penggunaan bahasa isyarat dengan berkesan semasa berkomunikasi serta berurusan dengan pelanggan cacat pendengaran.