Anggota tentera dan rakan ditahan dipercayai aktif edar dadah

Anggota tentera dan rakan ditahan dipercayai aktif edar dadah

Dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

Anggota tentera yang ditahan bersama  rakannya dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Dua dekat sini kerana memiliki dadah dipercayai terlibat secara aktif mengedar bahan terlarang itu sejak awal tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt S. Batumalai berkata mereka yang berusia 30-an itu ditahan awal pagi Sabtu lepas dan direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati anggota tentera dan rakannya yang bekerja sebagai peniaga itu terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini.
“Semasa ditahan mereka dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah jenis heroin seberat 240 gram bernilai RM12,000 kepada pembeli di Kedah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan juga mendapati mereka bergerak secara bersendirian tanpa didalangi mana-mana sindiket dadah.
Akhbar sebelum ini melaporkan anggota tentera bersama rakannya itu ditahan selepas polis menemui dadah dalam kereta Perodua Kancil yang mereka naiki.
-Bernama