Kilang haram diarahkan berpindah, isu dihadapi penduduk dijangka selesai

Kilang haram diarahkan berpindah, isu dihadapi penduduk dijangka selesai

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan mengeluarkan notis pemberitahuan serta arahan kepada pemilik kilang haram yang beroperasi di Kampung Aman supaya berpindah ke lokasi yang lain dalam tempoh yang terdekat.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan mengeluarkan notis pemberitahuan serta arahan kepada pemilik kilang haram yang beroperasi di Kampung Aman supaya  berpindah ke lokasi yang lain dalam tempoh yang terdekat.

Yang Dipertua MPS,  Datuk Zainal Abidin Azim berkata pihaknya akan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada dua pemilik pusat terbabit untuk menghentikan operasi dan berpindah ke tempat yang sesuai.

Menurutnya meskipun kawasan itu diwartakan sebagai kawasan industri namun kerana terdapat bantahan daripada penduduk sekitar kilang terbabit perlu dipindahkan.

“Kita akan pastikan kilang tersebut berpindah secepat mungkin,” katanya.

Susulan daripada keputusan itu, dijangkakan masalah yang dihadapi lebih kurang 4,500 penduduk Kg Aman dan sekitarnya akan berakhir sekali gus menamatkan penantian dan kesengsaraan dialami oleh mereka sejak 7 tahun yang lalu.

Menerusi laporan Komunitikini pada 23 Ogos lalu, penduduk mendakwa pembinaan loji yang berdekatan dengan keempat-empat kawasan perumahan mengganggu keselamatan dan kesihatan melibatkan penduduk setempat.

See also  Discover modern living at TuJu Residences & Retail

Kawasan perumahan itu adalah Kampung Seri Aman, Taman Sri Aman Heights, Taman Suria dan Aman Courts.

Penduduk berkumpul sekitar jam 10 pagi di bilik gerakan Kampung Desa Aman dan berarak setengah jam kemudian ke kilang simen berdekatan 200 meter daripada kawasan perumahan.

Mereka yang marah itu terus mendesak agar kilang simen itu ditutup serta merta.

Selepas berhimpun kira-kira sejam sambil meluahkan kemarahan mereka, penduduk akhir bersurai.

Dalam perkembangan lain,  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor menyifatkan tindakan pemilik kilang haram tersebut mendirikan premisnya berhampiran kawasan penempatan dan beroperasi tanpa memikirkan keselamatan dan kesihatan penduduk adalah tidak wajar.

Beliau pernah mengadakan lawatan baru-baru ini bersama pihak berwajib ke sekitar kawasan penempatan tersebut dan mendapati struktur keadaan jalan raya tidak rata serta berlubang manakala sistem perparitan tersumbat angkara sikap kecuaian mereka  mengabaikan aspek kebersihan.

See also  Garmin, Reef Check partnership removes 755kg of ocean waste

Justeru itu, dikhuatiri kilang tersebut  mengganggu gugat keselamatan dan kesihatan penduduk perlu diambil perhatian serius pihak penguatkuasaan majlis daerah, jelasnya lagi.

“Malah, saya menyambut baik kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah pada  2 September lalu mengesyorkan semua kilang –kilang yang berada di dalam Kampung Desa Aman berpindah ke kawasan jauh daripada penduduk,” katanya kepada Komunitikini.

Menurut Bushro, cadangan yang dikemukakan ADUN Seri Kembangan itu adalah tepat  demi kesejahteraan penduduk di situ.

“Kilang tersebut mesti berpindah, sampai bila hendak membiarkan penduduk sebegitu rupa, masalah ini tidak akan selesai selagi kilang masih berdegil terus beroperasi di dalam kampung walaupun notis kompaun dikenakan,” tegasnya yang turut sama berkongsi pandangan.