Setiap kali hujan lebat, sudah pasti berlaku banjir kilat di Jalan Peel berhadapan dengan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Jalan Peel, Cheras petang tadi.
Salah seorang penduduk taman berdekatan, Hasbullah Md Noh berkata, penduduk dan pengguna jalan raya bimbang mengenai masalah yang dihadapi setiap kali banjir kilat dilihat berlarutan hampir 5 bulan bermula sejak awal Januari lalu.
Menurutnya, beliau kesal kerana walaupun banyak kali aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) namun sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil.
“Cukuplah hujan lebat berlanjutan selama sejam, sudah pasti banjir kilat berlaku di jalan tersebut menyebabkan penduduk dan pengguna jalan raya menghadapi kesukaran untuk melalui jalan berkenaan.
“Malah ada pengguna kenderaan mengeluh kerana setiap kali hujan lebat kenderaan yang mereka naiki mengalami kerosakan.Saya berharap pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Komunitikini hari ini.
Difahamkan sistem perparitan tidak terancang menjadi punca berlakunya banjir kilat di jalan tersebut.