CHERAS – Satu kemalangan berlaku di lebuhraya Cheras yang melibatkan tiga buah kenderaan iaitu lori sayur, Perodua Myvi, dan Toyota Vios hingga menyebabkan satu nyawa mati terbakar kira-kira jam tiga pagi tadi.
Seorang saksi kejadian, Teo Chai Yong, 31, yang berada di kawasan kejadian berkata, “pada mulanya saya melihat sebuah Toyota Vios terbabas di bahu jalan seterusnya kelihatan sebuah Perodua Myvi yang remuk tersepit dengan sebuah lori sayur”.
Teo berhenti seketika apabila mendengar suara seorang perempuan menjerit meminta tolong.
Mengulas lebih lanjut, ketika itu Teo melihat api di bahagian enjin kereta mula marak, dengan sepantas kilat dia bergegas membuat panggilan polis, bomba dan juga ambulans.
Teo bergegas berkejaran ke stesen petrol berhampiran yang jaraknya tidak sampai 500meter dari tempat kejadian.
Jelasnya lagi, Teo meminta pertolongan daripada pekerja di stesen petrol untuk menggunakan pemadam api bagi menyelamatkan mangsa tersebut.
Bagaimanapun, permintaannya tidak dipedulikan oleh staf tersebut.
“Pihak pengurusan tidak membenarkan pemadam api tersebut dipinjam oleh orang awam”, kata staf tersebut.
“Saya sanggup membuat jaminan dengan meletakkan kad pengenalan di stesen tersebut semata-mata untuk menaruh kepercayaan namun masih tidak diendahkan oleh staf tersebut”, ujar Teo ketika dihubungi Komunitikini.
Teo mula berang kerana tidak mendapat kerjasama oleh pihak mereka kerana ia melibatkan nyawa dan mengugut staf tersebut jikalau si mangsa mati, staf tersebut adalah pembunuh.
Tambahan pula, ketika Teo merayu meminta pertolongan dia sedang membuat panggilan polis, malah pihak polis agak terkejut mendengar mengapa Teo merayu-rayu meminta pemadam api.
Sebaliknya, staf tersebut mengugut untuk melaporkan hal demikian kepada pihak pengurus dan juga polis.
Teo tidak melengahkan masanya dan dia terus kembali ke tempat kejadian, malangnya kereta tersebut sudah hangus dan mangsa itu turut mati terbakar.
Apa yang menyedihkan Teo, pihak polis turut berkata jikalau dapat menggunakan pemadam api dari stesen petrol tersebut kemungkinan nyawa tersebut dapat diselamatkan.
Teo berkata, hatinya sungguh terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan satu nyawa malah dia sangat marah dengan sikap staf di stesen petrol tersebut.
Pihak bomba mengenal pasti seorang wanita hangus mati dijilat api dan tidak dapat dikenal pasti empunya tuan badan kerana semua fail penting juga turut tidak dapat diselamatkan.
Menurut laporan pihak bomba, kemalangan tersebut melibatkan seorang terkorban, dua orang cedera parah dan seorang lagi selamat.
Pegawai perhubungan BHP, Abdul Kaiyum berkata saksi terbabit dalam keadaan tidak tenang malah caranya sangat mendesak.
“Situasi tengah malam juga menyebabkan pekerjanya agak berhati-hati ekoran terdapat banyak kes yang telah berlaku di stesen berikut”, katanya ketika dihubungi Komunitikini.
Namun yang demikian tidak salah kalau hal ini dirunding dengan penyelia pada waktu itu.
Kemaskini: Difahamkan pihak BHP tidak akan membuat sidang media secara rasmi berhubung dengan masalah ini.
Si mangsa yang meninggal dunia dipercayai merupakan seorang pelajar dan pihak polis masih menjalani ujian DNA terhadap si mati untuk mengenal pasti identitinya.