LPKP beku pembaharuan lesen pemilik yang gagal hadir temusiasat

LPKP beku pembaharuan lesen pemilik yang gagal hadir temusiasat

LPKP membekukan semua pembaharuan lesen bagi pemilik yang tidak hadir sesi temusiasat dan gagal menyelesaikan kompaun sekiranya terbukti melakukan kesalahan.

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) membekukan semua pembaharuan lesen bagi pemilik yang tidak hadir sesi  temusiasat dan gagal menyelesaikan kompaun sekiranya terbukti melakukan  kesalahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata  selain pertimbangan pembekuan lesen pemilik yang ingkar, lesen mereka juga boleh ditarik balik oleh lembaga itu.

Beliau berkata tindakan diambil berikutan aduan yang lambat diselesaikan kerana LPKP tidak berupaya membawa kes ke mahkamah sekiranya pemilik lesen tidak hadir atau gagal hadir memberi keterangan.

“LPKP tidak berupaya membawa kes ke mahkamah kerana sehingga kini ia tidak mempunyai pegawai pendakwa.

“Kebanyakan kes disebabkan pengadu sendiri tidak mahu tampil memberi  keterangan dan menunggu sehingga tempoh permit tamat, adakalanya sehingga lima  tahun disebabkan pemilik lesen tidak hadir memberi kerjasama,” katanya dalam  jawapan bertulis kepada Senator Dr Syed Husin Ali.

See also  Travel with RedBus: Your guide to Singapore adventures

Senator itu ingin tahu mengapa LPKP mengambil masa lama bagi sesuatu urusan pengendalian aduan.

Menurut Ahmad, perkara berkenaan diatasi secara proaktif dengan mewujudkan Prosedur Operasi Piawai (SOP) Aduan dan menubuhkan Unit Khas Aduan yang dipantau sendiri oleh pengarah LPKP.

Katanya, semua aduan akan berlandaskan SOP yang telah ditetapkan bagi  memberi keadilan pada yang mengadu dan pihak yang diadu.

“Aduan yang tidak berkaitan dengan bidang kuasa LPKP akan dihantar kepada jabatan berkaitan selaras dengan ‘no wrong door policy’ yang diperkenalkan kerajaan bagi pengurusan aduan,” katanya.

– Bernama