ADUN Ayer Keroh Khoo Poay Tiong menjelaskan sebanyak 40 buah bas akan dipindahkan daripada Terminal Melaka Sentral ke Pantai Klebang berdekatan dengan Tugu 1 Malaysia dan berdepan dengan Muzium Kapal Selam.
Tinjauan pagi semalam hanya sekitar 23 bas dan selebihnya akan ditunda secara berperingkat-peringkat.
Jelas Khoo, tujuan utama pemindahan bas ini dari terminal utama adalah disebabkan kerana kehadiran Perdana Menteri Najib Razak yang akan hadir ke Melaka sempena pelancaran rasmi Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama negara di Jalan Hang Tuah UTC pada 23 Jun.
Bagi menjaga maruah kerajaan negeri, bas tersebut telah dipindahkan Terminal Melaka Sentral ke Pantai Klebang dengan kos RM20,000 bagi 40 buah bas yang mana setiap kos sebuah bas adalah RM500.
Setelah selesai program bersama Perdana Menteri, bas yang lama akan dihantar semula ke terminal asalanya.
Semenjak diambil alih oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu PM Cultural & Tourism Sdn Bhd, bilangan bas yang beroperasi telah menurun sebelum diambil alih daripada 100 buah bas kepada 50 buah bas sahaja dan keadaan ini menyulitkan penumpang yang selalu menggunakan bas henti-henti ini.
Ada yang menunggu sehingga tiga hingga ke empat jam sebelum mereka boleh kembali ke destinasi mereka. Keadaan ini menimbulkan kurang selesa penumpang dengan mutu perkhidmatan yang sedia ada.