Sebanyak 1,274 petak perniagaan disediakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di 22 lokasi bazar di Ipoh sepanjang bulan Ramadan tahun ini, kata Ketua Penolong Pengarah Korporat MBI Normala Latiff hari ini.
Menurut beliau lesen perniagaan bagi bazar tersebut akan dikeluarkan mulai 28 Jun ini hingga 7 Julai ini bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang dan peniaga yang berminat boleh membuat permohonan di ibu pejabat MBI.
“Semua bazar itu dikendalikan oleh MBI kecuali tapak bazar di hadapan Greentown Mall yang diswastakan. Kadar caj bagi tapak bazar berkanopi ditetapkan RM300 dan RM150 bagi yang tidak berkanopi setiap satu,” katanya kepada pemberita di sini.
“Kita menyediakan kanopi di bazar Ramadan di Medan Gopeng, Stadium Perak, Taman Kledang Jaya, Rapat Setia, Taman Cempaka, Taman Jati dan Desa Aman.
“Kadar caj yang dikenakan itu meliputi caj lesen, perkhidmatan pembersihan sampah, suntikan penyakit dan sewakanopi,” katanya.
Normala berkata peniaga yang ingin membuat permohonan mendapatkan lesen perniagaan tersebut diminta membawa salinan kad pengenalan, kad suntikan Anti-Typoid, salinan Sijil Kursus Pengendalian Makanan dan dua keping gambar
untuk urusan perlesenan.
“MBI juga memberi amaran kepada pemilik lesen agar tidak memindahkannya kepada pihak ketiga untuk mencari keuntungan segera. Kita juga akan memantau gerai-gerai apabila bazar mula beroperasi kelak,” katanya.
Tegasnya, MBI akan mengambil tindakan membatalkan lesen tersebut sekiranya ianya di dapati berlaku.
– Bernama