Kg Kerandang tidak diiktiraf sebagai penempatan sah

Kg Kerandang tidak diiktiraf sebagai penempatan sah

Kerajaan Selangor tidak mempunyai apa-apa rekod yang mengiktiraf Kampung Kerandang yang terletak dalam hutan simpan Bukit Tarek di Hulu Selangor sebagai satu penempatan yang sah.

Kerajaan Selangor tidak mempunyai apa-apa rekod yang mengiktiraf Kampung Kerandang yang terletak dalam hutan simpan Bukit Tarek di Hulu Selangor sebagai satu penempatan yang sah.

Berdasarkan taklimat oleh Pejabat Daerah Hulu Selangor kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tengah hari tadi, Kampung Kerandang bukan sebuah kampung yang sah serta tidak mempunyai ketua kampung dan JKKK yang diiktiraf oleh kerajaan negeri dan perkara ini juga disahkan oleh Penghulu Mukim Batang Kali.

Dalam taklimat itu, Khalid berkata Jabatan Hutan Negeri Selangor serta pengarah Pengurusan Tanah dan Galian juga mengesahkan bahawa tiada kelulusan yang telah diberi oleh mana-mana jabatan kerajaan bagi membenarkan rumah atau mana-mana struktur lain dibina di kawasan seluas 1,000 hektar itu yang masih diwarta sebagai hutan simpan.

Menurutnya, walaupun lesen menduduki sementara (TOL) tidak boleh dikeluarkan untuk kawasan hutan simpan, ironinya Pejabat Daerah pada 2001 telah mengeluarkan lesen TOL kepada 375 keluarga untuk tanaman kontan dengan bayaran RM80 sekeluarga di mana lesen TOL ini tamat pada 2004 dan tidak pernah diperbaharui.

“Saya juga telah diberitahu kerajaan negeri pada 2007 telah mengiktiraf kawasan tersebut sebagai tanah rizab Melayu bagi menggantikan tanah rizab Melayu di Kuala Langat yang diambil untuk pembangunan.

See also  Savvy @ Riana Dutamas: Redefining urban living

“Perlu ditekankan di sini bahawa penggantian tanah rizab Melayu tidak melibatkan pemindahan kampung atau penduduk. Ia diganti bagi memastikan jumlah pemilikan rizab Melayu dipertahankan seperti mana termaktub dalam Kanun Tanah Negara tetapi proses pemindahan ini tidak melibatkan individu atau penggantian penempatan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata walaupun kawasan tersebut diwartakan sebagai tanah rizab Melayu, ia juga masih dikategorikan sebagai hutan simpan.

Menurutnya, apabila kawasan tersebut telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu, lebih 700 orang – termasuk 375 pemegang TOL awal – telah membuat permohonan untuk hak milik tanah.

“Senarai penama ini telah diberi oleh pemimpin UMNO setempat ketika itu dan telah diberi kepada Pejabat Daerah dengan bayaran RM10 seorang sebagai yuran permohonan,” katanya.

Khalid berkata, bayaran dan perkhidmatan juru ukur bagi pembahagian tanah yang dipohon telah dibiayai oleh jawatankuasa pemohon namun, Kerajaan Negeri tiada maklumat jika pemohon ada membuat bayaran untuk perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, setelah Jabatan Hutan membuat tinjauan terperinci ternyata hanya enam orang keluarga yang terdiri daripada peneroka asal yang melibatkan kawasan seluas 12 ekar yang masih tinggal di kampung itu.

“Sehingga kini tiada struktur haram diatas tanah tersebut telah diusik termasuk rumah penduduk serta madrasah yang telah disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS),” tegasnya.

See also  Discover modern living at TuJu Residences & Retail

Sehubungan itu, Khalid menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan menulis surat kepada LZS untuk mendapat penjelasan bagaimana madrasah boleh didirikan tanpa mendapat kelulusan yang sepatutnya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mendapat penjelasan daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) mengapa jalan masuk boleh dibina di kawasan penempatan yang tidak sah dan dan bagaimana Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh membina penyambungan kabel eletrik tanpa pengiktirafan kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri akan mempamerkan senarai nama-nama pemegang TOL asal yang dikeluarkan pada 2001 serta nama-nama yang telah dicadangkan untuk menerima tanah TOL ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid yang juga ADUN Ijok turut menasihatkan individu-individu yang mahu menarik diri dari menerima tanah TOL supaya berhubung terus dengan Pegawai Daerah Hulu Selangor.

Menurutnya, mereka yang berhak akan diberi pertolongan oleh kerajaan Negeri. Tapi mereka yang cuba mengambil kesempatan tidak akan dilayan.

“Kita menyedari ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengeruh keadaan tapi kerajaan negeri akan terus menyelesaikan masalah ini secara professional, telus dan bertanggungjawab,” ujarnya.