Deruan motosikal kuasa besar bakal mengamit Kota Kinabalu

Deruan motosikal kuasa besar bakal mengamit Kota Kinabalu

Lebih kurang 500 penunggang dari negara Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Australia di samping pemilik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia akan bertandang di Kota Kinabalu

 

Bandaraya Kota Kinabalu dan beberapa pekan di Pantai Barat Sabah bakal digegarkan oleh deruan motosikal berkuasa besar.

Lebih kurang 500 penunggang dari negara Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Australia di samping pemilik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia akan bertandang di Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada acara Borneo Island International Big Bike Festival ke-12 yang akan berlangsung pada 10-123 Jun 2011

Kehadiran pelbagai motorsikal berkuasa tinggi seperti Harley Davidson, Ducati, Aprilia, Yamaha, Honda, Kawasaki, Suzuki dan Naza diumumkan oleh Pengerusi Penganjur BIIBBF Ke-12, Angus Wong sewaktu Majlis Penyampaian Sijil Kursus Marshal dan Pengendalian Konvoi Motosikal anjuran Sabah Big Bikers Club di Kompleks Sukan Likas kelmarin.

Angus yang juga Timbalan Presiden SBBC menyatakan bahawa tujuan penganjuran Kursus Marshal tersebut ialah sebahagian daripada persiapan teknikal untuk menyediakan Marshal dan pengiring konvoi BIIBBF mengelilingi Bandaraya Kota Kinabalu, Ranau, Kota Belud dan Tuaran termasuklah dari Sipitang, Beaufort dan Papar.

See also  ANIFEST celebrates creative arts, ethics, and innovation

Kursus yang dijalankan selama dua hari itu telah dihadiri oleh 50 orang bakal Marshal yang dikendalikan oleh Sarjan Kamaruddin Hambali dan Sarjan Jaipin dari PDRM yang dibantu oleh ahli-ahli SBBC.

Kursus tersebut  mendedahkan teknik menunggang yang selamat dalam pelbagai keadaan dan bentuk muka bumi di samping aspek perundangan serta kaedah berkomunikasi, Para peserta juga didedahkan dengan konvoi sebenar dengan menelusuri jalanraya Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau-Kota Belud by-pass dan pekan berdekatan.

Sementara itu Presiden SBBC, Mohammad Aziz Yong turut mengingatkan para peserta kursus agar menjaga nama baik negeri Sabah sempena BIIBBF serta memberikan segala bantuan yang sesuai kepada semua peserta konvoi dari negara-negara luar.

“Sebagai pakar yang bakal menyelia pergerakan konvoi dan mengurus segala keperluan peserta, ahli-ahli SBBC serta kelab-kelab permotoran lain seperti Santai Bikers. H.O.G, KKLC, Sabah Motorsports dan sebagainya perlu bekerjasama dan mewujudkan persefahaman yang utuh sekaligus memberikan imej terbaik kepada negeri Sabah dan juga pemilik motosikal keseluruhannya’, tambah Aziz lagi.

See also  First-ever KL Chinatown Festival set for November

Menurut Pegawai Kerja SBBC selaku Urusetia Induk BIIBBF, Haji Hasbullah Hamid, antara acara sampingan yang akan diadakan ialah pameran motosikal berkuasa besar yang terbaru, motosikal kustom, pertandingan motosikal tercantik, bunyi terkuat, jualan aksesori dan pakaian, pendaftaran ahli kelab-kelab permotoran dan sebagainya.

Hasbullah menyeru kepada semua peminat automotif khususnya motosikal agar tidak melepaskan peluang menyertai festival terhebat yang julungkali diadakan di Kota Kinabalu.

Segala maklumat lanjut berkaitan penyertaan dan pendaftaran boleh diperolehi melalui Angus Wong (0198807788),Hasyim (0168448390), Peter Francis (0198425298), Ibnu Robi (0168212223), Jumadi (0138567662) dan Haji Hasbullah (0135424442). Turut hadir di majlis tersebut ialah Presiden Santai Bikers, Johanis Tinggal, Presiden Kelab Motorsikal Beaufort, Noor Hassan dan wakil kelab-kelab permotoran seluruh Sabah.

Sebarang pertanyaan boleh ditujukan kepada Sabah Big Bikers Club Tel: 0198807788, 0138567662, 0168212223.

 

 

Gary Louis Supi