SJK (T) Sungai Bakap memerlukan tanah dan bangunan baru

PENANG – SJKT Sungai Bakap telah ditubuhkan pada tahun 1946 diatas tanah seluas 0.5 ekar milik Kee Toh Euah. [VIDEO]

 

PIBG SJK(T) Sg Bakap

SJK(T) Sungai Bakap telah ditubuhkan pada tahun 1946 diatas tanah seluas 0.5 ekar milik Kee Toh Euah.

Sekolah yang berusia 66 tahun ini masih lagi sedang beroperasi sebagai sekolah bantuan modal dengan kemudahan-kemudahan yang tidak menepati standard Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tambahan pula, isu keselamatan warga SJK(T) Sg Bakap terancam kerana lokasinya di penjuru selekoh yang tajam yang menjadi laluan utama bagi kenderaan-kenderaan berat seperti lori dan traktor yang melombong pasir di tempat berhampiran.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini masalah anai-anai menyebabkan bumbung sekolah hampir runtuh dan situasi ini membimbangkan seluruh warga sekolah dan ibu-bapa.

Dalam satu sidang media baru-baru ini, Pengerusi PIBG SJK(T) Sg Bakap Mohan Sinniah, menegaskan bahawa perhatian yang serius harus diberi oleh pihah kerajaan persekutuan dan negeri serta Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menangani masalah yang dihadapi oleh sekolah ini dengan serta merta.

Menurut beliau masa depan murid-murid tidak terjamin dan PIBG tidak lagi boleh berkompromi dengan janji-janji manis yang diberikan oleh ahli-ahli politik.

“Ramai ibu-bapa dari masyarakat India mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana kekurangan kemudahan asas di sekolah Tamil dan ini merupakan satu situasi yang menyedihkan kami.

Apa yang kami harapkan adalah penyelesaian yang mutlak dan bukannya yang sementara” tegas beliau.

Pengerusi LPS Dr Shanker Kumar mengeluh dengan sikap Jabatan Pelajaran Negeri yang tidak membimbing pihak sekolah dengan cara profesional untuk memohon tanah baru untuk sekolah. Jabatan-jabatan kerajaan menuding jari pihak lain dan kami tidak mengetahui prosedur yang lengkap untuk memohon tanah dan bangunan baru untuk sekolah kami.

“Prestasi sekolah tentunya akan bertambah baik jika kemudahan sekolah diperbaiki” tegas beliau.

Beliau meminta agar satu rombongan khas dari Kementerian Pelajaran Malaysia melawat sekolah mereka dalam masa yang terdekat untuk melihat sendiri keadaan sekolah dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Menurut beliau Pihak LPS sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kementerian untuk memastikan masa depan anak-anak murid terjamin.

Selain daripada itu, SJKT Sg Bakap tidak mempunyai kemudahan-kemudahan asas seperti kantin, tapak perhimpunan, pejabat dan bilik guru yang kondusif, bilik darjah yang luas dan padang yang sesuai.

Masalah tangki najis yang melimpah seringkali membawa masalah kesihatan kepada murid-murid. Semak-samun yang berhimpun di kawasan sekeliling sekolah seringkali mengundang binatang-binatang liar seperti ular dan serangga-serangga beracun memasuki bilik-bilik darjah.

Semak samun ini juga menjadi sarang penagih dadah dan pencuri yang seringkali memecah masuk ke dalam kawasan sekolah untuk mencuri barang-barang milik sekolah.

Pihak PIBG dan LPS SJK (T) Sg Bakap mengharapkan bahawa tanah alternatif yang dikenalpasti di kawasan Sungai Bakap yang milik kerajaan persekutuan diperuntukkan kepada sekolah mereka, agar bangunan baru dengan kemudahan-kemudahan asas mampu menjana modal insan yang cemerlang pada masa depan.

Mampukah rungutan warga SJK(T) Sungai Bakap didengar dan diberi penyelesaian yang mutlak oleh kerajaan? Kita tunggu dan lihat!

Sathis Kumar