Rombak dan selamatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Melaka

MELAKA – Sekumpulan peminat dan penyokong bola sepak bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Melaka baru-baru ini telah mengadakan satu sidang akhbar di perkarangan Stadium Hang Jebat.

Sekumpulan peminat dan penyokong bola sepak bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Melaka baru-baru ini telah mengadakan satu sidang akhbar di perkarangan Stadium Hang Jebat, Melaka bagi mendesak rombakan secara total Persatuan Bola Sepak Negeri Melaka (MAFA).

Mereka kurang berpuas hati dengan prestasi pasukan Melaka yang sekadar berada di tempat ketujuh dari sembilan pasukan yang bertanding dalam liga FAM iaitu liga tercorot di persada liga bola sepak negara.

Presiden MAFA sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa masalah utama MAFA adalah masalah kewangan dalam pembayaran gaji dan elaun pemain serta pengurusan.

Menurut Zuraidi Abdullah, penyelaras SAMM Melaka, persoalan yang timbul, adakah kekangan kewangan disebabkan oleh salah urus tadbir kewangan ataupun peruntukan untuk bola sepak Melaka tidak disalur secukupnya menyebabkan MAFA gagal bersaing dengan kelab dan persatuan bola sepak negeri yang lain.

See also  Jameson’s Jingle in the Court: A Christmas bash like no other

“Jika peruntukan untuk bola sepak tidak disalur dengan secukupnya, apakah ini bermakna kewangan negeri Melaka semakin parah?” tambah beliau.

“Apakah MAFA sendiri tidak pernah serius dalam menangani isu kemerosotan pemain dan persatuan yang seperti hidup segan mati tak mahu?”

Stadium Hang Jebat

Ujar Zuraidi lagi,”Stadium Hang Jebat yang dirasmikan pada September 2004 boleh memuatkan 40000 penonton dianggap antara stadium terbaik dan termaju di Malaysia tetapi mendukacitakan pasukan negeri Melaka sendiri tidak dapat beraksi di stadium ini.”

Sehubungan itu, pihak SAMM Melaka menuntut agar MAFA bebas dari cengkaman dan unsur politik, maka Presiden MAFA, Dato’ Haji Md Yunos selaku ADUN Ayer Molek harus meletak jawatan dengan segera kerana telah gagal dan tidak layak mengemudi Persatuan Bola Sepak Negeri Melaka.

See also  Thamaraj makes history with Silat gold in Abu Dhabi

SAMM Melaka juga menuntut agar Pengarah Teknikal yang dihantar oleh FAM untuk membantu MAFA meletak jawatan dan berundur serta membawa masuk beberapa orang bekas pemain bola sepak Melaka ke dalam pengurusan.

MAFA juga didesak agar turun padang dalam mencungkil bakat baru dari setiap daerah dan memperkukuhkan Liga Bola Sepak Domestik agar dapat mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Melaka.

SAMM Melaka akan memulakan kempen menurunkan tandatangan penyokong dan pencinta bola sepak negeri Melaka sebagai tanda sokongan ke arah memajukan dan meningkatkan prestasi bola sepak negeri Melaka.

 

Amirull Salihing