Persoalan ialah, adakah ia memberi impak kepada para pengunjung terutamanya yang merayakan Tahun Baru Cina?
Dalam tinjauan rawak di Kota Kinabalu, rata- rata respon yang diberi adalah positif.
Malahan, ada yang turut memberi cadangan sampingan.
Bagi Lawrence Sia dan isterinya Angeline Moirin, seorang wanita Dusun daripada Tamparuli, sambutan Tahun Baru Cina lebih terasa suasananya dengan adanya perhiasan-perhiasan yang menarik.
Perhiasan yang menarik sebenarnya menaikkan lagi semangat menyambut perayaan ini, kata Lawrence.
Lawrence berkata, “ Setiap kompleks beli-belah’ dihiasi dengan cara yang berlainan.
“Ada yang sederhana dan ada juga yang benar-benar menyerlah.
“Hiasan yang menarik mendorong seseorang untuk menyambut perayaan ini dengan lebih meriah lagi,” kata Lawrence.
Suasana mungkin akan menjadi lebih meriah sekiranya gedung-gedung beli-belah ini menyediakan aktiviti –aktiviti menarik terutamanya untuk kanak-kanak, tambah bapa kepada tiga orang anak ini.
“ Kanak-kanak akan menjadi lebih gembira dengan adanya aktiviti-aktiviti seperti pertandingan melukis, nyanyian, mewarna Ratu Cina, peraduan menyanyi lagu Cina serta deklamasi sajak Cina.
“Ibubapa akan turut gembira melihat anak-anak mereka gembira. Secara tidak langsung, suasana Tahun Baru Cina akan lebih terasa,” ujar beliau lagi.
Manakala isterinya Moirin juga turut bersetuju dengan pandangan suaminya mengenai perhiasan di kompleks membeli-belah.
“ Perhiasan menarik seperti replika pelbagai jenis tanglung, bunga-bunga musim luruh, banner ucapan “GONG XI FA CAI”, rumah-rumah Cina,dan hiasan menggunakan angpau membuatkan saya bersemangat dengan perayaan ini.” ujarnya yang turut merayakan perayaan ini sejak berkahwin.
“ Manakala perhiasan yang kurang menarik atau sederhana membuatkan pengunjung merasa perayaan itu tidak disambut dengan meriah.” tambah beliau yang telah membuat perbandingan perhiasan perayaan Tahun Baru Cina di kompleks beli-belah disekitar Kota Kinabalu.
Ketika ditanya akan sentimen mereka terhadap perayaan kali ini mereka berkata, perayaan tahun ini mereka sambut secara sederhana tetapi meriah.
Tentang apakah yang diharapkan sempena tahun ular ini, mereka juga sependapat dalam satu perkara, iaitu mengutamakan penjagaan kesihatan.
Bagi seorang wanita pula, Margaret Agnes berkata beliau benar-benar terasa akan suasana Tahun Baru Cina walaupun ia belum dirayakan.
Perhiasan yang merah bara dan berkelip-kelipan menggunakan lampu neon di sekeliling kompleks membeli-belah baginya penting untuk membangkitkan perasaan orang ramai yang merayakan perayaan itu, kata Margaret
“ Walaupun belum tiba masanya, apabila saya melihat perhiasan-perhiasan itu, saya sudah rasa seperti Tahun Baru Cina. Lagu-lagu yang dimainkan turut membuatkan saya teruja,” ujar guru tersebut sambil tersenyum riang.
Daya penarik terutamanya tarian singa dan bunyi mercun yang kedengaran disana sini turut memeriahkan suasana, tetapi tahun ini, ianya agak berkurangan, tambahnya.
Mengenai perasaan serta sentimen beliau untuk perayaan tahun ini beliau berkata, dia amat gembira untuk sambutan tahun ini.
Walaupun menyambutnya secara sederhana ekoran kenaikan harga banyak barangan, beliau tetap gembira kerana dapat merayakannya dengan melawat saudara terdekat serta rakan-rakan.
“ Harapan saya pada tahun ini ialah agar dapat hidup dengan lebih gembira, makmur dan memiliki kesihatan yang baik. Disini saya ingin mengambil kesempatan ucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada semua yang mengenali saya dan yang menyambut perayaan ini. Semoga tahun ini akan membawa berkat,” kata beliau ketika ditanya akan harapan beliau.
Berlainan pula dengan Christopher Wong, 39 tahun, seorang pengusaha restoran di 1Borneo yang memberikan respon sedikit berlainan.
Ketika orang lain teruja dan seronok melihat perhiasan-perhiasan tersebut, beliau pula tidak dapat merasakan sentimen seperti yang mereka rasakan.
Ini disebabkan pekerjaan beliau yang memerlukan dia bekerja pada musim-musim cuti perayaan lalu menyebabkan dia menjadi lali.
Namun secara jujurnya beliau berpendapat, hiasan-hiasan yang dihiasi sememangnya cantik dan mempesona.
Beliau berkata, “ Yang saya nampak hanyalah di Centre point dan 1Borneo. Perhiasan adalah cantik. Tetapi banyak kedai-kedai yang tidak peduli sangat.”
Mengenai perasaan beliau untuk sambutan tahun ini dia berkata, musim perayaan adalah sesuatu yang membazir tetapi menyeronokkan.
“ Kebanyakkan orang suka dan gembira melihat perhiasan yang menarik.
“Seperti anak-anak dan isteri saya, mereka suka mengambil gambar dan membeli itu dan ini.
“Tapi bapa mengeluh kerana terpaksa bayar,” katanya sambil berseloroh kepada Citizen Journalists Malaysia (CJMY).
Ditanya tentang harapan dan keinginan beliau untuk tahun ini, beliau berkata, banyak yang diinginkan.
Tetapi samada dapat dicapai atau tidak, ia adalah sesuatu yang belum pasti.
Daripada tinjauan ini, kesimpulan dapat dibuat bahawa, perhiasan-perhiasan di kompleks membeli-belah adalah penting dan menjadi kemestian demi menyemarakkan lagi suasana Tahun Baru Cina.