Penjualan tiket Liverpool ‘tour’ di Malaysia pada 16 Julai adalah yang terlaris berbanding dua kelab lagi yang bakal bertandang ke negara ini iaitu pasukan Arsenal dan Chelsea.
Pengarah Urusan ProEvents International Sdn Bhd, San Boon Wah berkata jualan tiket pada minggu lalu menyaksikan 48,000 tiket Liverpool sudah pun dijual sementara 35,000 bagi perlawanan Arsenal dan hampir 30,000 bagi perlawanan Chelsea berjaya dijual.
“Kami mensasarkan 63,000 tiket dapat dijual bairpun kapasiti sebenar stadium boleh melebihi sehingga 83,000 penonton,” katanya dihubungi Komunitikini, tengahari tadi.
Terdahulu, Pada 7 April kelab gergasi liga perdana Inggeris mengumumkan akan mengadakan siri jelajah perlawanan persahabatan dengan Malaysia, China dan Korea di laman web www.liverpoolfc.tv.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ini adalah pertama kali kelab Liverpool datang ke Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan setelah membatalkan pertemuan dengan pasukan Selangor pada 2008.
Sementara itu, pasukan The Blues pernah menewaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan persahabatan siri Jelajah Asia pada 2008.
FAM masih lagi meneruskan usaha mengatur perlawanan persahabatan berkelas A biarpun sebelum ini berkesudahan dengan Harimau Malaya hanya akan menentang pasukan berstatus kelab iaitu FC Etoile dari Liga Singapura.