Suspek kes samun dan bunuh di Kemaman ditahan

Polis menahan dua suspek utama kes samun dan bunuh seorang wanita berumur 54 tahun di Kemaman minggu lepas.

Suspek utama yang merupakan anak angkat wanita itu ditahan 4 Mei lepas di Pasir Gudang, Johor manakala suspek kedua ditahan di Taman Desa Darul Iman2, Kemaman, sehari selepas itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan berkata hasil siasatan yang dijalankan terhadap seorang daripada suspek yang ditahan itu mendedahkan terdapat seorang lagi rakannya yang masih bebas dan mengakui barangan yang disamun telah dijual di sebuah kedai pajak gadai di Kelantan.

“Hasil siasatan lanjut kami juga menemui sebuah komputer riba yang disamun dari rumah mangsa, satu unit televisyen di rumah teman wanita suspek di Kuala Krai, Kelantan dan sebuah kereta Proton Wira yang digunakan semasa kejadian itu.

“Polis juga merampas barang-barang yang kemas yang disamun itu di sebuah kedai pajak gadai di Kuala Krai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Manoharan berkata polis kini melancarkan gerakan memburu seorang lagi suspek yang hanya dikenali sebagai Mohsin bagi membantu siasatan dan dia kini dipercayai berada di Tanah Merah, Kelantan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Jamil Mohd Sahad di talian 014-8007222 atau Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di talian 09-6354815.

Pada 30 April lepas, seorang wanita ditemui pengsan dengan tangannya diikat dan mulutnya ditampal pita pelekat di Taman Desa Darul Iman, Kemaman. Wanita itu mati kira-kira 15 minit selepas dihantar ke Hospital Kemaman.